BARCELONA – Pemain sayap Barcelona, Raphinha berharap dia dan rakan sepasukan dapat meneruskan rentak terbaik menjelang aksi La Liga menentang Athletic Bilbao di San Mames awal pagi esok.
Meskipun menang dalam dua aksi liga sebelum ini, namun pemain antarabangsa Brazil itu memberi amaran kepada pemain-pemain Barcelona supaya tidak terlalu mendabik dada meskipun sudah memimpin saingan La Liga dengan perbezaan mata yang jauh.
Justeru, dia mahu semua pemain The Catalans menampilkan aksi 100 peratus, lebih-lebih lagi mereka mungkin turun tanpa khidmat beberapa pemain utama termasuk tonggak pertahanan, Ronald Araujo.
“Pasukan berada dalam kondisi terbaik ketika ini. Saya tahu prestasi kami bukanlah sempurna, terutamanya dalam dua perlawanan liga terdahulu, tetapi kami mengharungi musim yang cukup cemerlang.
“Masih banyak yang perlu diperbaiki kerana kami berdepan kesukaran dalam dua perlawanan sebelum ini walaupun menang. Juara liga tidak ditentukan dalam dua perlawanan tersebut kerana saingan masih panjang,” katanya.
Sementara itu, Raphinha juga menjelaskan, dia lebih selesa beraksi di bahagian sayap kiri, namun tidak berdepan masalah untuk memenuhi permintaan jurulatih, Xavi Hernandez beraksi di sayap kanan.
“Secara jujur, sudah lama saya tidak bermain di posisi sayap kiri, kali terakhir mungkin lima tahun lalu. Bagaimanapun, saya tidak kisah jika diperlukan bermain di posisi itu asalkan dapat membantu pasukan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan,” ujarnya. – AGENSI