BUKAN mudah untuk mendapat peluang kedua dalam hidup. Jika ada, maka hargailah ia sebaiknya.
Itu pelajaran diterima oleh Anita (bukan nama sebenar), 38, selepas mensia-siakan seseorang yang sentiasa setia bersamanya.
Anita merupakan seorang ibu kepada dua cahaya mata serta mempunyai seorang suami yang baik.
Tidak ada cacat celanya kehidupan wanita berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu, malah dia dilayan seperti seorang permaisuri oleh suaminya.
Disebabkan suaminya bekerja sebagai kru kapal laut, wanita yang berkhidmat dalam sektor swasta itu sering berasa bersendirian membesarkan anak-anaknya.
“Suami saya kalau keluar bertugas biasanya selepas tiga hingga empat bulan baru pulang. Jadi, saya berseorangan membesarkan anak-anak di rumah.
“Dia biasanya akan balik (cuti) selama tiga bulan sebelum kembali semula ke laut untuk belayar,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tambahnya lagi, disebabkan jarang bertemu suami, Anita mengakui ada ketikanya dia berasa sunyi dan memerlukan kehadiran seorang lelaki di sisinya.
Disebabkan Anita bekerja, dia akan menyibukkan diri dari pagi hingga petang sebelum menjemput anak-anak di rumah pengasuh.
Walaupun sibuk, Anita masih terasa sunyi kerana ketiadaan suami serta tidak dapat menghubunginya dengan kerap atas faktor tugasan.
Bagaimanapun, kesunyian Anita mula terisi selepas berkenalan dengan Zul (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang pelatih di syarikat dia bekerja.
Perkenalan itu berlaku sekitar lima tahun lalu apabila Anita diarahkan supaya menjadi penyelia kepada Zul.
Zul merupakan pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan.
Dia merupakan seorang pemuda yang ramah dan rajin bertanya.
“Awalnya saya melayan Zul seperti seorang adik memandangkan jarak umur kami berbeza 12 tahun. Namun, dia pandai menyesuaikan diri sebelum kami menjadi rapat seolah-olah sebaya umur.
“Keserasian itu membuatkan saya selesa dengan dia (Zul). Meskipun dia sudah tamat latihan industri, namun kami masih berhubung,” ujarnya.
Cerita Anita lagi, anak-anaknya juga rapat dengan Zul yang sering datang ke rumah dan meluangkan masa bersama mereka.
Persahabatan antara Zul dan Anita kemudian berubah menjadi lebih akrab seperti pasangan suami isteri.
Mereka kerap keluar dan bercuti bersama dengan anak-anak semasa suami Anita berlayar.
Apabila suaminya pulang pula, Anita akan berhubung dengan Zul secara rahsia. Malah, jika ada kesempatan dia akan curi-curi membuat panggilan video.
“Awalnya suami tidak curiga, namun lama-kelamaan dia seolah-olah dapat menghidu hubungan saya dengan Zul.
“Lebih menambah keraguannya pada saya apabila anak-anak sering bertanyakan tentang Zul pada saya di hadapannya,” kongsinya.
Hubungan sulit Anita terbongkar selepas suaminya terjumpa jambangan bunga yang dibeli khusus untuk majlis graduasi Zul.
Katanya, disebabkan itu berlaku pertengkaran antara mereka dan dia turut mengakui tentang hubungan tersebut.
Suaminya berang dengan keadaan yang berlaku dan dia kemudian bertindak menghubungi Zul supaya tidak mendekati isterinya lagi.
Oleh kerana tidak mahu kehilangan Zul, Anita bertindak melarikan diri bersama pemuda itu dan meninggalkan anak-anak bersama suami.
“Saya juga berhenti kerja kerana mahu menyembunyikan diri bersama Zul di sebuah penempatan di Melaka.
“Awalnya, saya sangkakan Zul boleh membahagiakan saya. Tetapi selepas beberapa bulan semuanya berubah,” katanya
Kongsinya lagi, Zul tidak mahu bekerja dan hanya bergantung dengan Anita hingga semua wang simpanannya habis.
Selepas tiada apa-apa, Zul meninggalkan Anita untuk bersama wanita lain yang sebaya dengannya.
Pada ketika itu, barulah Anita sedar bahawa sebenarnya Zul hanya menggunakan dirinya untuk kepentingan diri sendiri.
Anita yang kesal ingin pulang ke pangkuan suaminya.
“Kawan saya beritahu bahawa suami sudah lama tidak belayar kerana mencari keberadaan saya. Awalnya, saya berat hati mahu bertemu dengannya kerana malu, namun disebabkan pujukan kawan, saya beranikan diri,” katanya.
Selepas bertemu dengan suami, Anita meminta maaf atas kesilapannya dan bersedia dengan apa sahaja keputusan suami terhadap hubungan mereka.
Anita tidak menyangka bahawa suaminya memaafkan dirinya dan masih mahu mengekalkan hubungan perkahwinan mereka kerana rasa cinta yang mendalam.
Sejak itu, Anita tidak lagi mensia-siakan kesetiaan dan kasih sayang suaminya serta menghargai peluang kedua yang diberikan dengan penuh kesyukuran.