fbpx

Mael Totey raih RM2.56 juta empat hari tayangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Mael Totey The Movie

KUALA LUMPUR – Filem arahan pertama selebriti YouTube, Syahmi Sazli berjaya meraih RM2.56 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak 22 Oktober lalu menerusi tayangan Astro First.

Kejayaan tersebut merupakan kutipan paling tinggi di platform Astro First (first run film) setakat ini sekali gus memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh filem Syif Malam Raya.

Mael Totey The Movie mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul bernama Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.

Penerbit dan juga Pengarah Filem Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli dalam satu kenyataan kepada Kosmo! berkata, dia amat bersyukur dengan kejayaan tersebut.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton, peminat, pengikut kami serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang memberi sokongan padu pada filem ini.

“Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini.

Ujarnya, ternyata inisiatif ini dilihat mampu memberi jalan positif untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan.

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

“Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI