JOHOR BAHRU- Seorang wanita maut selepas mengalami luka melecur akibat sebuah kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Pertanian, Masai, Pasir Gudang, di sini pada pukul 3 pagi, semalam.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Laie Sawang, 48, berkata, dia tidak menjangka kebakaran tersebut akan menyebabkan seorang jirannya maut, hanya beberapa hari sebelum Ramadan.
Katanya, ketika kejadian dia sedang tidur nyenyak bersama suami serta dua cahaya mata mereka.
“Saya terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi dentuman kuat dipercayai letupan gas dapur dari rumah jiran. Saya terkejut selepas mendapati api sudah marak ke sebahagian kediamannya dan bertindak pantas menyelamatkan diri.
“Kami tidak dapat selamatkan apa-apa barangan dan kini tinggal sehelai sepinggang kerana hanya fikir untuk menyelamatkan diri pada ketika itu.
“Saya sudah tinggal di kawasan ini selama 20 tahun dan tidak disangka rumah kami musnah dalam sekelip mata namun saya tetap bersyukur kerana kesemua ahli keluarga selamat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Tambah pekerja kilang perabot itu, dia bagaimana berduka dengan kejadian menimpa jirannya, Suriz yang melecur dan difahamkan meninggal dunia ketika sedang diberi rawatan.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Masai, Indera Putra Ibrahim pula memberitahu, secara keseluruhannya sebanyak lapan buah rumah musnah dalam kebakaran dan kejadian itu membabitkan seramai 27 mangsa.
“Seorang wanita bernama Rahmaniyah atau dikenali sebagai Suriz berusia 33 tahun maut akibat melecur manakala seorang ahli keluarganya iaitu lelaki dewasa berusia 43 tahun juga melecur namun difahamkan sudah dibenarkan pulang ke rumah.
“Pada awalnya kesemua mangsa ditempatkan di Balairaya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pertanian.
“Bagaimanapun kami bersyukur kerana seorang ahli perniagaan tampil menawarkan tempat tinggal sementara buat mereka sehingga mereka berjaya mencari rumah sewa lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian yang menimpa mangsa.-KOSMO! ONLINE