PETALING JAYA – Hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM18,000 menanti pemenang bagi Pertandingan Memancing Petaling Jaya Joran 2023 (PJ Joran) akan berlangsung di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya, Ahad depan.
Pertandingan memancing tersebut anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) merupakan tahun kelima ia diadakan dengan sasaran penyertaan 800 peserta.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, pertandingan memancing tersebut mendapat sambutan selain dinantikan-nantikan oleh kaki pancing sekitar Lembah Klang.
“Penyertaan tahun ini diharap terus meningkat berbanding tahun lalu, sekali gus memeriahkan suasana selaras usaha MBPJ mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai satu destinasi untuk beriadah.
“Juara bakal membawa pulang hadiah RM6,000 bersama piala, naib juara pula RM2,000 dan tempat ketiga sebanyak RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tempat keempat hingga lima bakal membawa pulang hadiah bernilai RM400, manakala tempat keenam hingga ke-10 masing-masing menerima RM200, ke-11 hingga ke-20 (RM150), ke-21 hingga ke-30 (RM100) dan ke-31 hingga ke-100 (RM80).
Ujarnya, hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan sehingga tempat kelima.
“Hadiah wang tunai keseluruhan turut ditambah bagi menarik penyertaan kaki-kaki pancing hadir ke pertandingan ini.
“Jika tahun 2022, ikan patin seberat 4.030kilogram (kg) menjadi juara, tahun ini diharap ada kaki pancing dapat menaikkan pula saiz lagi besar,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Azhan berkata, tasik berkenaan ini adalah kesempatan terbaik buat kaki pancing bertarung melawan ikan seperti patin, tongsan, toman, haruan, rohu, kap, belida, keli dan tilapia.
Katanya, pertandingan itu juga menjadi platform kepada masyarakat sekitar Petaling Jaya dan khususnya kaki pancing dapat berkumpul di tasik tersebut.
“Hasrat MBPJ adalah untuk mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai satu destinasi untuk beriadah bersama keluarga selain meningkatkan sumber pelancongan dan ekonomi setempat.
“Dengan adanya aktiviti ini kita dapat membawa penduduk Petaling Jaya dan kaki pancing datang ke sini membawa joran masing-masing, peluang perniagaan dapat ditingkatkan dan seterusnya komuniti akan merasa seronok tinggal di Petaling Jaya.
“Pertandingan ini juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Petaling Jaya dengan aktiviti sihat,” katanya.
Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dilakukan Sabtu depan, bermula pukul 3 petang hingga 10 malam dan keesokannya pada pukul 6.30 pagi hingga waktu pertandingan.
Sebanyak 500 baju-T akan diedarkan secara percuma kepada peserta terawal selain berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dan peralatan memancing.
Acara pelepasan ikan sempena PJ Joran ini telah disempurnakan Mohamad Azhan pada Jumaat yang lalu melibatkan hampir 600 kg spesies patin bersaiz 1 hingga 5 kg.
Taman Bandaran Kelana Jaya merupakan taman yang terbesar dan sangat dikenali di Petaling Jaya. Terdapat tujuk tasik di taman ini dan merupakan salah satu tempat popular dengan kepelbagaian trek di sekeliling tasik.
Selain trek, taman ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan-kemudahan lain untuk pengunjung beriadah seperti alat senaman serta ‘skate park’.
Untuk pertanyaan berkaitan PJ Joran 2023 boleh hubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau layari laman sosial facebook.com/jorankl. – KOSMO! ONLINE