KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan popular Nur Fazura enggan mengas lanjut isu pecah amanah dalam syarikat yang melibatkan perniagaan miliknya.
Pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, 40, menegaskan kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
“Betul memang ada pecah amanah dan kes ini sangat-sangat berat dan melibatkan kakitangan sementara dan sejumlah wang yang banyak.
“Saya tidak ingin ulas panjang kerana hal ini masih menjadi siasatan pihak polis. Insya-Allah kita akan tahu lebih lanjut apabila mendapat kemas kini nanti.
“Apatah lagi isu ini bukan membabitkan satu kes saja sebaliknya melibatkan beberapa kes lain. Saya bukan ingin mengaibkan sesiapa, sebaliknya sudah melanggar undang-undang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika pelancaran Aidilfitri Fazura di sini, semalam.
Sementara itu, pelakon filem Pisau Cukur itu turut menganggap kejadian tersebut sebagai pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Malah, perkara berkenaan membuka mata Fazura untuk tidak mudah mempercayai orang sekeliling termasuk kawan sendiri.
“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku dan berharap menjadi pengajaran buat saya untuk lebih berhati-hati dalam mempercayai orang serta sebagai teladan buat si pelaku juga menyesali dengan apa yang sudah dilakukan.
“Mungkin saya terlalu mudah percaya dan bersangka baik pada orang, itulah silap saya. Tidak rasa menyesal untuk bersangka baik, tetapi pengajaran buat saya.
“Sejak kebelakangan ini, saya banyak mengalami situasi begitu (dikhianati) dengan pekerja dan kawan-kawan. Tidak boleh mempercayai sesiapa walaupun dia rapat dengan saya,” ujar isteri kepada aktor Fattah Amin itu.
Terdahulu, pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Fazura ada membuat satu laporan polis berkenaan isu pecah amanah dalam syarikat miliknya.
Bagaimanapun, aktres tersebut tidak memperincikan butir lanjut mengenai laporan polis yang dibuat. -KOSMO! ONLINE