fbpx

Wani Syaz tubuh tabung bantu mangsa banjir Batu Pahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANI SYAZ

KUALA LUMPUR – Kediaman turut terjejas akibat banjir tidak menghalang penyanyi Wani Syaz untuk membantu mangsa lain di Batu Pahat, Johor dengan mengagihkan barangan keperluan kepada keluarga yang memerlukan.

Katanya, bersama ahli keluarga dan pekerja, mereka mengambil inisiatif membuka tabung bantuan bagi membantu kejiranan di kawasannya yang terkesan akibat banjir.

Penyanyi Lepaskan itu mengakui terharu apabila usaha mereka berjaya mengumpulkan RM5,000 yang digunakan untuk membeli makanan, produk penjagaan diri serta waterjet bagi tujuan pembersihan.

“Terima kasih kepada penyumbang yang bermurah hati meringankan beban mangsa banjir untuk untuk membeli barangan seperti makanan dan produk penjagaan diri dan alatan perlu untuk kerja membersihkan lumpur.

“Sebagai antara mangsa banjir, saya memahami situasi dilalui insan senasib terutama di kawasan kami yang mungkin ada di antaranya masih terkejut berdepan bah seteruk ini.

“Dibantu ahli keluarga lain, kami cuma menolong pula orang lain menerusi inisiatif mengagihkan barang yang disokong dermawan budiman.

“Terima kasih juga kepada agensi kerajaan dan NGO lain yang turut turun padang membawa barangan perlu untuk mangsa di pusat pemindahan Sementara,” katanya kepada Kosmo! Online.

Wani Syaz ditemui ketika mempromosikan single baharu berduet dengan Wany Hasrita berjudul Sakitnya Penantian ciptaan komposer, A Ramlee dan Ezra Kong di ibu negara kelmarin.

Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, barangan elektrik di rumah dan kedai makan yang diusahakan juga ada yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian pada Sabtu lalu.

“Waktu hujan lebat saya di kedai, tetapi terus balik ke rumah tengok keadaan emak dan nenek berusia 80 tahun yang uzur dan terlantar di katil sejak bertahun-tahun lalu.

“Tengah malam itu air naik mendadak hingga saya cuma fikir selamatkan nenek dan lima ekor kucing dulu selain mencapai beberapa helai baju.

“Memang perabot dan barang elektrik di rumah ditenggelami air, manakala barangan kedai ada beberapa dapat kami alihkan ke atas meja sebelum pulang,” katanya.

Begitupun, Wani atau nama sebenarnya, Nursyazwani Selamat, reda berdepan musibah yang berlaku, selain berharap air cepat surut bagi membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menurutnya, kejadian banjir itu bukan kali pertama berlaku, tetapi menerusi dua pengalamannya terdahulu, air tidak naik secepat itu sehingga mencecah paras pinggang.

“Kejadian minggu lalu berlaku sangat cepat. Selalunya jika hujan tidak berhenti selama tiga atau empat hari barulah air akan masuk dalam rumah, tetapi tidaklah sampai ke paras pinggang.

“Sedar sahaja air sudah sampai ke paras pinggang, jadi kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa
ditambah rasa terkejut kerana semuanya berlaku dengan cepat.

“Tahun lalu kawasan kampung saya dilanda bajir, tetapi rumah kami tidak terjejas kerana kedudukan rumah agak tinggi, ” kata anak bongsu daripada dua bersaudara itu lagi.

Dalam kesibukan menguruskan keluarga serta mengedarkan barangan kepada mangsa, Wani turut berulang alik antara Batu Pahat dan Kuala Lumpur untuk menyempurnakan pembikinan lagu serta video klip hari raya.

Ibarat serampang dua mata, pada masa sama dia juga ‘turun’ membeli bekalan untuk diagihkan kepada penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI