SEREMBAN – Kegiatan sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan ladang kelapa sawit sebagai lokasi pengedaran terbongkar hasil serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan di Kampung Air Hitam, Klang di Selangor melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM338,000 dengan duti hampir RM1.2 juta.
Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, siasatan mendapati sindiket dikesan menggunakan alat gangguan komunikasi (jammer) yang menyukarkan anggota penguat kuasa mendapatkan isyarat telefon ketika operasi dijalankan pada 22 Februari lalu.
“Penggunaan ‘jammer’ ini pertama kali dikesan digunakan oleh sindiket penyeludupan rokok di Negeri Sembilan menyebabkan anggota operasi gagal menghubungi antara satu sama lain dalam radius 300 meter ketika serbuan.
“Hasil pemeriksaan, kita menemui sebuah lori kanvas tertutup muatan tiga tan dan 14 unit kereta pelbagai jenis tanpa pemilik yang berada di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Air Hitam, Klang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohammad Hafiz berkata, hasil risikan selama dua minggu mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan menjadikan kawasan sunyi termasuk ladang kelapa sawit sebagai lokasi pengederan rokok kepada peruncit dan pengedar di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
“Dalam serbuan ini, sejumlah 8,990 karton rokok putih jenama ‘Saat’ dan rokok kretek jenama ‘Touro’ bernilai RM144,032 telah dirampas serta barang eksibit termasuk 15 buah kenderaan bernilai RM194,000 telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967.
“Kesemua rokok seludup itu disyaki belum lulus Kastam dan Barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya.
Antara kenderaan yang dirampas termasuk Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Ixora, Nissan Grand Livina dan Toyota Innova.
Jelas Mohamad Hafiz, pihaknya akan melakukan tangkapan terdapat kesemua pemilik kenderaan yang terlibat dipercayai warga tempatan memandangkan nombor pendaftaran dan cukai jalan masih aktif.
Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah mengangkut rokok-rokok yang tidak mempunyai label cukai yang sah menggunakan lori kanvas tertutup.
“Ia kemudiannya dibawa ke kawaasan terpencil di ladang kelapa sawit untuk diagihkan dalam kenderaan persendirian sebelum diedarkan dan dijual dipasaran dengan harga tiga kali ganda murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya. – KOSMO! ONLINE