fbpx

Pam air dihantar ke Batu Pahat tangani situasi banjir termenung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ (tengah) melawat ruang pameran Tourism Johor selepas merasmikan Festival MATTA Johor di AICC, Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri telah menggerakkan pam air ke Batu Pahat untuk menangani insiden banjir termenung yang menyebabkan jumlah mangsa banjir di daerah itu terus meningkat, ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya juga telah mewujudkan satu jawatankuasa penyelarasan khusus untuk daerah berkenaan bertujuan memastikan kesejahteraan penduduk setempat.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang mendapatkan bantuan pam air dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri-negeri lain yang tidak terjejas banjir.

“Rata-rata situasi banjir di negeri ini telah mula surut, tetapi yang menjadi cabaran adalah di Batu Pahat. Di sana angka belum menurun dan ada beberapa PPS (pusat pemindahan sementara) yang baharu dibuka hari ini.

“Oleh itu, kita adakan Jawatankuasa Penyelarasan khusus untuk Batu Pahat, ini untuk menyusun gerak kerja melibatkan pelbagai aspek termasuk logistik untuk mengatasi situasi banjir termendap di daerah itu.

“Dengan mengambil kira faktor air pasang dalam beberapa hari ini, sukar untuk air keluar. Jadi pam air telah digerakkan ke seluruh kawasan Batu Pahat untuk keluarkan air daripada kawasan terlibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI