fbpx

‘Saya tidak menyesal setia pada Liverpool’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGURUS Liga Fantasi Kosmo! yang berjaya muncul sebagai pemenang mingguan ke-26.
ABDUL SHUKOR

‘Saya tidak menyesal setia pada Liverpool’

PENYOKONG setia Liverpool, Abdul Shukor Shaari tidak menyesal keputusannya mengekalkan barisan pemain The Reds selepas membantunya muncul selaku pemenang mingguan tertinggi Liga Fantasi Kosmo! bagi minggu ke-26.

Abdul Shukor, 53, yang merupakan penyokong tegar Liverpool menegaskan, dia yakin dengan keputusannya mengekalkan Mohamed Salah sebagai kapten meskipun sedar berdepan Manchester United.

Tegas ahli perniagaan dari Selangor itu, pantang larang tidak mengambil pemain musuh, United dalam skuadnya juga tepat dan bersyukur menjadi salah seorang pemenang tertinggi mingguan.

Katanya, ini kali pertama dia muncul selaku pemenang tertinggi meskipun tahun ini adalah musim keduanya menyertai Liga Fantasi anjuran Kosmo!

“Saya sudah main Liga Fantasi sejak 2006 dan saya merupakan penyokong Liverpool sejak melanjutkan pengajian di Liverpool. Jadi, bila pertembungan dengan United, saya akui ini adalah masanya saya peroleh mata penuh.

“Tidak sangka pula sampai 7-0 Liverpool ‘lanyak’ United. Saya yakin kemenangan besar Liverpool membantu saya mengutip mata tertinggi,” katanya yang berhasrat untuk melakar kemenangan kedua saingan Liga Fantasi Kosmo!

 

HAFIZ

Pensyarah bertuah sebagai peminat sejati The Reds

KEJAYAAN Liverpool menewaskan Manchester United 7-0 memberi tuah buat pasukan Reds Fyz FC yang dikendalikan oleh Hafiz Zulfakar untuk menjadi pemenang minggu ke-26 (GW26) pada saingan Liga Fantasi Kosmo! minggu ini.

Kata Hafiz yang juga seorang pensyarah universiti awam, keputusan untuk menggunakan cip wildcard pada minggu ini juga boleh dianggap berbaloi kerana memberi kutipan mata yang cukup menggalakkan.

“Saya sangat gembira apabila dapat meraih kemenangan pada minggu kali ini. Mungkin disebabkan saya menggunakan cip wildcard dengan merombak kesemua pemain.

“Antara yang menjadi adalah beberapa pemain pasukan Brighton selain benteng pertahanan juga agak menjadi selepas tidak dibolosi sepanjang minggu lalu.

“Namun, sumbangan mata terbesar sudah tentu diberikan oleh pemain Liverpool seperti Mohamed Salah dan Darwin Nunez yang begitu menyerlah ketika menewaskan Manchester United 7-0 dan saya menyesal tidak ambil Cody Gakpo.

“Sebagai peminat sejati Liverpool, saya bangga tidak menggunakan pemain United sepanjang musim ini meskipun mereka menyerlah seperti Marcus Rashford,” katanya.

 

MUHAMMAD SALIHIN

Penantian dua musim berakhir sebagai pemenang mingguan ke-26

PENANTIAN hampir dua musim akhirnya berbaloi selepas pasukan Jaguh Kampung FC yang dikendalikan oleh Muhammad Salihin Zamri berjaya merekodkan kemenangan mingguan pertama selepas tersenarai dalam carta top 5 minggu ke-26 (GW26).

Kata Salihin, ini adalah kejayaan cukup manis dan membanggakan apabila pasukan diminati, Liverpool berjaya melakar kemenangan besar.

“Ini musim kedua saya sertai saingan Liga Fantasi Kosmo! selepas musim sebelum ini saya gagal menang hadiah mingguan.

“Jika ditanya mengenai rahsia, tiada apa yang berbeza selain daripada kepercayaan penuh diberikan kepada tiga pemain skuad Liverpool.

“Tiga pemain itu ialah Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Trent Alexander-Arnold dan saya harap prestasi konsisten mereka dapat dikekalkan apabila menentang Bournemouth pada GW27 malam nanti,” katanya.

 

RADZI

Tentera Berkuda gembira walaupun menang nasib

PENGURUS pasukan Tentera Berkuda, Radzi Shamsudin menganggap kemenangan pasukan pada minggu ke-26 sebagai nasib memandangkan kapten yang dipilih, Bukayo Saka gagal menampilkan aksi dimahukan.

Bagaimanapun, aksi cemerlang ditampilkan pemain-pemain lain nyata memberi kelebihan kepada pasukan itu, sekali gus memastikan Radzi menikmati kemenangan kali kedua mingguan.

Katanya, kemenangan itu membuatkan dia menganggap keputusan untuk menyertai sai­ngan musim ini sangat berbaloi apabila sudah mengumpul hadiah wang tunai mingguan berjumlah RM400.

“Ini kali kedua menang, memang rasa sangat bernasib baik kerana selepas kemenangan pertama, prestasi pasukan merudum.

“Saya fikir sangat berbaloi dengan kemenangan kedua.

“Kapten untuk minggu ke-26 adalah Saka tetapi dia tidak berada pada prestasi terbaik. Sebab itu saya terkejut masih tersenarai sebagai pemenang kerana kutipan mata agak mengecewakan,” katanya.

 

OMAR

Omar kini pakar pengurus Liga Fantasi Kosmo!

SELEPAS cemerlang apabila empat kali dinobatkan sebagai pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! 2023, pengurus Perlis United Club, Omar Noorrashid pasang impian untuk cuba menang sekurang-kurangnya tiga kali lagi sebelum saingan Liga Perdana Inggeris musim ini berakhir.

Keputusan menyenaraikan Alexis Mac Allister, Darwin Nunez dan Alisson Becker juga seakan beri tuah kepada Omar apabila Perlis United Club yang dijadikan pasukan kedua pada penyertaan kali ini membuahkan hasil.

“Selepas Perlis FC menang dua kali, kini giliran Perlis United Club melakukan perkara sama. Mungkin ini rezeki saya dan langkah untuk memilih Mohamed Salah sebagai kapten sebagai tindakan tepat bersama-sama Mac Allister, Nunez dan Becker

“Saya pilih Mac Allister sebab mahu buat kelainan dan mungkin ramai orang pilih Kaoru Mitoma. Kalau ikutkan, saya kejar hadiah keseluruhan, namun sudah tidak mampu, jadi akan terus buat terbaik untuk membolehkan saya menang mingguan,” kata Omar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI