SEGAMAT – Seorang mangsa banjir mengambil keputusan memasang khemah bagi memantau kediaman penduduk daripada dimasuki penceroboh selepas Kampung Seberang Batu Badak di sini ditenggelami banjir sejak Ahad lalu.
Mohd. Tahar Md. Der, 40, berkata, keluarganya dan penduduk yang lain sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kampung itu dilanda banjir, namun dia bimbang penempatan tersebut dipecah masuk pencuri.
“Saya sudah 20 tahun menetap sini. Saya dirikan khemah tepi jalan raya berdekatan kampung ini kerana laluan ini tidak dinaiki air.
“Saya memantau rumah kerana ada beberapa barangan seperti enjin bot, perahu, jala, lukah dan peralatan pertukangan yang disimpan dalam stor di rumah penduduk.
“Sejak banjir Ahad lalu, sudah empat malam saya bermalam dalam khemah ini sebab takut barang-barang dicuri,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Batu Badak di sini.
Mohd. Tahar yang juga pekerja swasta berkata, ada ahli keluarga yang memintanya supaya bermalam ke PPS, tetapi dia memutuskan untuk terus berada di situ demi tanggungjawab sosial kepada penduduk.
“Bekalan makanan dan minuman saya akan keluar membeli di kedai, selain ada ahli keluarga dan penduduk menghantar makanan,” kongsinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis sentiasa membuat rondaan di kawasan penempatan mangsa banjir untuk mengelak kes pencerobohan rumah sepanjang musim tengkujuh.
“Langkah terbabit sebagai jaminan kepada penduduk setempat supaya tidak takut untuk meninggalkan kediaman serta harta benda mereka sebaliknya terus ke PPS untuk berlindung,” katanya. -KOSMO! ONLINE