UBAH suai kenderaan tidak kira motosikal atau kereta semakin menjadi-jadi atas alasan ingin melihat kenderaan mereka semakin cantik dan laju.
Namun tanpa mereka sedar, perubahan yang dilakukan pada kenderaan itu sedikit sebanyak membuatkan pengguna jalan raya lain terkena tempias keburukannya.
Contohnya, lampu brek belakang kereta diwarnakan dengan warna hitam gelap, lampu hadapan ditukar kepada warna putih atau High intensity Discharged (HID), diikuti bunyi ekzos yang bising.
Lebih buruk apabila terdapat pempengaruh media sosial yang tidak sensitif tentang perkara ini dan berterusan mengajak orang ramai membeli produk tidak mematuhi standard kenderaan di atas jalan raya yang dipromosikan mereka.
Dengan jumlah pengikut yang ramai, pastinya ada pengguna yang terikut dengan ajakan itu dan tanpa disedari mampu mengundang pelbagai risiko di atas jalan raya.
Pengaruh mereka yang luas sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk mengajar pengguna jalan raya mematuhi dengan lebih tepat tentang keselamatan jalan raya.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Law Teik Hua berkata, tanggungjawab memberi peringatan kepada pengguna jalan raya tentang tahap kebenaran modifikasi kereta tidak terletak pada pihak penguat kuasa sahaja.
Katanya, apabila sahaja kenderaan itu mempunyai enjin, pengguna tidak boleh mengubah suai dengan sesuka hati.
“Pempengaruh media sosial yang mengajar orang ramai cara ubah suai kereta ini sepatutnya bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita tidak perlu sekat pengisian mereka di media sosial, gunakan pengaruh mereka untuk bantu sebarkan lagi penguatkuasaan tentang ubah suai kenderaan,” katanya.
Menurut Law, ubah suai motosikal juga antara penyebab kenderaan itu mencatatkan jumlah tertinggi kemalangan setiap tahun.
“Masyarakat kita tidak tahu limitasi dalam mengubah suai kenderaan, tidak dinafikan mengubah suai akan mendorong kepada kemalangan jalan raya baik perubahan kecil atau besar,” ujarnya.
Justeru, penulis berharap bukan sahaja tindakan daripada pihak berkuasa, malah pempengaruh di media sosial perlu berganding bahu dengan mencorakkan pengguna jalan raya di negara ini menjadi lebih peka selain memahami kesan produk yang dipromosikan mereka kepada orang ramai.
Menghias kenderaan itu tidak salah tetapi perlulah berpada-pada dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Semua orang inginkan kenderaan mereka dilihat cantik dan menambat hati terutamanya kepada pengguna itu sendiri.
Bagaimanapun, fahamilah bahawa pengguna jalan raya yang lain sangat terkesan dengan tindakan yang mementingkan diri sendiri ini sehingga mampu menyebabkan kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan. -KOSMO! ONLINE