KUALA TERENGGANU – Penduduk Kampung Pulau Bahagia, Manir di sini ‘diserang’ ribuan ulat bulu yang tiba-tiba muncul dari dua batang pokok mangga bersebelahan Masjid Pulau Bahagia di sini sejak Isnin lalu.
Seorang penduduk, Wan Mohd. Zulhilmi Wan Mohd. Zaidan, 32, berkata, pada mulanya ulat bulu itu cuma memakan daun-daun pokok mangga tersebut sehingga hampir gondol.
Katanya, mereka hanya perasan apabila ulat-ulat bulu tersebut mula merayap ke beberapa rumah penduduk berhampiran termasuk rumah ibu mentua, Zaroni Salleh, 58, berhampiran.
“Tambah membimbangkan, serangga perosak itu kemudiannya memenuhi kawasan pekarangan masjid bersebelahan,” katanya di Kampung Pulau Bahagia, Manir di sini semalam.
Menurutnya, serangan ulat bulu itu menyebabkan tingkap dan pintu masjid kini terpaksa ditutup sentiasa bagi mengelakkan serangga tersebut memasuki ruangan solat.
“Kami risau ulat bulu boleh menyebabkan penyakit kulit seperti gatal-gatal dalam kalangan penduduk.
“Apatah lagi pada waktu kehadiran lebih ramai jemaah termasuk dalam kalangan kanak-kanak pada solat Jumaat hari ini (semalam),” katanya.
Katanya lagi, dia telah mengambil inisiatif menyembur racun serangga perosak bagi mengurangkan populasi ulat bulu tersebut pada Selasa lalu.
“Walaupun sedikit berkurangan, ulat bulu itu tidak terhapus sepenuhnya kerana cepat membiak. Seingat saya, ini kali pertama kampung ini diserang ulat bulu sejak saya lahir lebih 30 tahun lalu.
“Saya sedang berbincang dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung untuk menebang dua pokok mangga yang menjadi sarang ulat bulu ini sebagai ikhtiar menghapuskan sepenuhnya serangan ulat bulu ini,” ujarnya.