MIRI – Seramai 80 orang daripada 12 keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di Kampung Wireless di sini terbakar pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan BBP Lopeng telah dikerahkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi katanya, anggota kemudiannya melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba berhampiran lokasi.
“Kerja-kerja pemadaman turut dibantu bot nelayan dari tebing sungai, yang menggunakan pam angkut untuk mengepam air sungai. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Siasatan lanjut mendapati, enam rumah kayu musnah sepenuhnya, manakala dua buah rumah terbakar 50 peratus dan sebuah rumah terbakar 20 peratus. Kesemua mangsa kini di tempatkan di Dewan Masyarakat Lereng Bukit buat sementara waktu ,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE