fbpx

Restoran kurang pekerja, tak sempat layan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan kod QR dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja di sesebuah restoran. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Bukan mudah untuk sesebuah restoran atau kedai makan itu menyediakan pelbagai servis mengikut permintaan pelanggan ketika pengusaha sendiri mengalami masalah kekurangan pekerja.

Seorang pengusaha kedai makan, Abdul Ghani Ghaffur berkata, dia pernah berdepan situasi apabila pelanggan membuat kecoh kerana terpaksa menunggu sekitar 15 minit sebelum dilayan oleh pembantu kedai.

“Pada awalnya pekerja saya sudah maklumkan sistem pesanan di kedai makan kami perlu melalui kod respons pantas (QR).

“Namun, pelanggan tersebut masih mahu pesannya diambil secara biasa oleh pekerja, dan akan mengambil masa sedikit kerana mereka perlu lakukan kerja lain,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui masih berdepan dengan isu kekurangan pekerja ketika ini kerana masih belum mampu untuk menggajikan pekerja mengikut tanda aras gaji minimum.

“Saya memang tak cukup pekerja, kami hanya ada enam pekerja termasuk dua tukang masak untuk melayan kira-kira 50 pelanggan dalam satu masa.

“Ada yang cuba mohon untuk kerja di sini, tetapi mahukan gaji RM1,500 sebulan, saya belum mampu lagi,” ujarnya.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL), Datuk Seri Rosli Sulaiman pula berpandangan penggunaan kod QR lebih sesuai digunakan dalam membuat pembayaran secara dalam talian.

“Untuk imbasan kod QR bagi buat pesanan di kedai, ia masih tidak diterima sepenuhnya dalam kalangan pelanggan terutama berusia 45 tahun ke atas.

“Bagi membuat pesanan makanan, mereka perlukan seseorang datang ambil pesanan sebab apabila sudah berusia emas. Kadangkala kita memang tak faham, sebab teknologi baharu lebih kepada orang muda,” ujarnya.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia meminta setiap pengusaha restoran dan kedai makan menyediakan sekurang-kurangnya satu atau dua pekerja yang ditugaskan untuk mengambil pesanan pelanggan di meja.

“Mereka (pekerja) perlu menghampiri pelanggan terutama pe­langgan tua dan dapatkan pesanan mereka secara manual atau bantu mereka membuat pesanan menggunakan kod QR sehingga pesanan tersebut selesai dihantar.

“Jika tidak, ia sememangnya memberi masalah kepada golongan berusia ini untuk melengkapkan pesanan mereka melalui sistem aplikasi. Mereka akan tertunggu-tunggu lama sangat sementara nak selesai buat pesa­nan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI