WASHINGTON – Bekas Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Russia, Michael McFaul ‘gementar’ tentang perkembangan perang Ukraine berikutan ‘kebuntuan’ dalam konflik itu mengundang kesangsian tentang keupayaan tentera Ukraine mempertahankan kedudukan mereka di medan perang, lapor majalah Newsweek kelmarin.
“Perang ini buntu sejak beberapa bulan lalu dan ini membuatkan saya gementar. Saya bimbang tentang keupayaan Ukraine untuk bertahan dan memastikan kami (Barat) terlibat dalam jangka masa panjang,” kata McFaul kepada bekas penasihat Barack Obama, David Axelrod dalam episod podcast Ax Files kelmarin.
Sudah lebih setahun sejak Russia menyerang Ukraine. Walaupun Kiev telah dapat menangkis serangan Kremlin, Russia baru-baru ini mendapat kemajuan dan kemenangan dalam pertempuran di barisan hadapan di rantau Bakhmut.
Kelmarin, Russia melancarkan bedilan hipersonik meluas melibatkan 81 peluru berpandu dalam salah satu serangan udara terbesar sejak beberapa minggu lalu. Lebih separuh misil itu mencapai sasarannya. Perkembangan itu menunjukkan Moscow dapat meningkatkan kejayaan di medan perang menerusi penggunaan peluru hipersonik jarak jauh terbaharu miliknya, Kinzhal.
Misil Kinzhal pada asalnya dibangunkan untuk membantu Russia mengatasi sistem pertahanan antipeluru berpandu AS. Washington kini berlumba untuk membangun dan menggunakan peluru berpandu hipersonik serupa.
McFaul yang berkhidmat di bawah pentadbiran Obama selama lima tahun berkata, walaupun beliau memuji pentadbiran Biden dalam perang Ukraine, pertempuran masih belum berakhir.
“Tiada sesiapa ingat pihak yang memenangi perang ini pada tahun pertama, mereka hanya ingat siapa yang memang pada tahun terakhir,” kata McFaul sambil menambah, rakyat Ukraine sendiri perlukan konflik itu diselesaikan segera.
“Rakyat Ukraine tidak percaya bahawa masa menyebelahi mereka. Mereka tidak mahu perang berlarutan kerana mereka tidak fikir boleh menampung perang yang begitu lama. Salah satu sebabnya adalah mereka akan kehabisan askar dan sebab kedua, mereka bimbang Barat akan menamatkan sokongan kepada Ukraine,” katanya lagi.
Memandangkan pandangan suram rakyat Ukraine sendiri mengenai perang tersebut, McFaul berkata, pentadbiran Biden harus melakukan lebih banyak lagi untuk membantu Ukraine mempertahankan dirinya.
Mengulas krisis tersebut, Pengarah Perisikan Nasional, Avril Haines bersetuju bahawa masa adalah faktor utama yang menentukan siapa yang akan menjadi pemenang perang Ukraine.
“Vladimir Putin (Presiden Russia) sedar bahawa masa memihak kepadanya dan Russia akhirnya akan dapat menguasai kepentingan strategik di Ukraine, sekali pun masa bertahun-tahun diperlukan,” kata Haines.
Dalam pada itu, badan pemikir China iaitu Akademi Sains Tentera, meramalkan perang Ukraine akan tamat menjelang musim bunga 2023 dengan Russia muncul sebagai pemenangnya. – AGENSI