SIBU – Seorang wanita lesap wang simpanan sebanyak RM45,049 selepas terjerat dengan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa, 34, yang merupakan pekerja operasi sebuah syarikat swasta di sini tertarik dengan tawaran kerja sebagai pembantu dalam talian itu selepas mendapati ia menawarkan komisen yang tinggi.
“Mangsa telah menghantar mesej ke nombor telefon yang tertera di iklan tersebut dan kemudian diarahkan untuk mendaftar maklumat peribadi serta mendaftar satu akaun di satu laman sesawang bagi mendapatkan kerja yang ditawarkan itu.
“Mangsa seterusnya diminta membuat bayaran ke dalam lima akaun bank yang berbeza berjumlah RM45,049,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata, mangsa menggunakan wang simpanannya sendiri bagi memperoleh komisen pesanan barangan yang didaftarkan atas namanya.
Zulkipli berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas komisen yang dijanjikan tidak diterima.
Ekoran itu, katanya mangsa tampil membuat laporan polis pada 8 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE