Filem Rajah sebuah karya sejarah yang mengisahkan Rajah Putih pertama Sarawak iaitu Sir James Brooke kini sedang hangat ditayangkan bermula 9 Mac lalu.
Dibikin oleh sebuah produksi Hollywood menerusi pengarahnya, Michael Haussman, filem berkenaan dibarisi ramai bintang antarabangsa antaranya, Jonathan Rhys Meyers (Ireland), Atiqah Hasiholan (Indonesia), Dominic Monaghan (British), Hannah New (United Kingdom) dan Josie Ho (Hong Kong).
Sementara, Shaheizy Sam dan Bront Palarae antara pelakon yang mewakili anak tempatan dalam filem yang dikatakan menelan kos puluhan juta ringgit tersebut.
Sebelum Rajah, sudah banyak juga karya anak tempatan yang mengangkat kisah sejarah Malaysia di layar perak.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
Tahun Tayangan: 2022
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof diilhamkan daripada tokoh sejarah Malaysia iaitu Mat Kilau.
Mat Kilau, pendekar Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang, ketika hayatnya sendiri menimbulkan kegemparan apabila memperkenalkan identitinya ketika penghujung usia.
Karya menjalani penggambaran selama empat tahun dan menelan kos sebanyak RM8 juta tersebut berjaya mencipta sejarah apabila menjadi filem tempatan yang meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman iaitu sebanyak RM97 juta sepanjang dua bulan tayangan.
Filem ini dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian dan Johan As’ari.
Leftenan Adnan
Tahun Tayangan: 2000
Antara filem sejarah yang ditonton berulang kali ialah Leftenan Adnan. Filem ini mengisahkan Leftenan Adnan dan Rejimen C Askar Melayu ketika zaman serangan Jepun sekitar 1941.
Dibikin berdasarkan kisah benar, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi yang kini diangkat sebagai wira dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura.
Filem lakonan Hairie Othman, Umie Aida, Farid Amirul, Faizal Hussein, Rusdi Ramli itu memenangi dua anugerah di Festival Filem Asia Pasifik ke-45 dan empat anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-15.
Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior
Tahun Tayangan: 2017
Karya pengarah Bade Azmi itu merupakan sebuah biografi sejarah mengisahkan tentang perajurit, Kanang anak Langkau.
Kanang yang menjadi Sarjan Mejar di Rejimen Renjer Kelapan dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kanang bersama platunnya banyak berjuang menghapuskan militan komunis yang semakin mengganas di seluruh negara dari tahun 1948 sehingga 1983.
Dibintangi Adi Putra, Johan As’ari, Jimmy Leong, Adam Shah, Aidil Aziz, Ruzana Ibrahim, Zachery Francis dan Langgi anak Kanang yang memegang watak sebagai bapanya.
Bukit Kepong
Tahun Tayangan: 1982
Filem arahan Allahyarham Jins Shamsuddin, Bukit Kepong diterbitkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia teersebut diolah berdasarkan fakta sejarah dengan kerjasama Ketua Polis Negara Malaysia keempat, Tun Hanif Omar.
Dibintangi Jins sendiri sebagai Sarjan Jamil Mohd. Shah, filem tersebut turut menampilkan Datuk Yusof Haslam, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham A. Rahim.
Seramai 150 anggota polis berlakon dengan memegang pelbagai watak termasuk sebagai gerila komunis.
Naskhah berkenaan menelan kos RM1 juta yang dianggap tinggi berbanding penerbitan filem Melayu lain ketika itu sekitar RM200,000 hingga RM300,000.
Semua itu berbaloi apabila Bukit Kepong menangi lapan anugerah dalam FFM 3 termasuk trofi Filem Terbaik.