fbpx

Cabut lari tinggal 1.36 tan minyak peket dalam MPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MPV jenis Perodua Alza yang ditahan selepas membawa sebanyak 1.36 tan minyak masak peket di depan sebuah premis di Kota Kubang Labu, Tumpat semalam. -Foto KPDN KELANTAN

TUMPAT – Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sebanyak 1.36 tan minyak masak peket bernilai RM 3,400 ke negara jiran gagal apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya ditahan di depan sebuah premis di Kota Kubang Labu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, suspek bagaimanapun sempat melarikan diri meninggalkan MPV jenis Perodua Alza dipandunya di kawasan tersebut.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor menjalankan Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa kemudiannya mengesan pergerakan sebuah MPV dari Kota Bharu menuju Tumpat dalam keadaan mencurigakan apabila kenderaan itu dipercayai membawa barangan kawalan.

“Pegawai KPDN dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga mengekori kenderaan tersebut sebelum pemandunya dilihat berhenti di bahu jalan sebelum melarikan diri ke kawasan bangunan berhampiran sehingga gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam MPV itu menemui kotak-kotak mengandungi minyak masak bersubsidi yang dianggarkan seberat 1,360 kilogram.

“Nilai sitaan terhadap barang kawalan tersebut dianggarkan bernilai RM3,400 manakala MPV jenis Perodua Alza itu pula berharga RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada individu yang menjalankan kegiatan penyeludupan dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

Menurutnya, penguat kuasa KPDN Kelantan sentiasa mempergiat usaha dengan mengadakan operasi menerusi Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi di kawasan sempadan negara dari masa ke semasa.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI