KUALA LUMPUR – Aktres popular Uqasha Senrose hairan apabila watak wanita ‘penyondol’ dan perampas suami orang lakonannya dalam drama Isteri Halal mendapat sokongan ramai.
Rasa hairan tersebut tercetus kerana pada awalnya pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu risau memikirkan risiko kecaman ramai namun respons sebaliknya yang diterima.
Paling menuai perhatian ramai adalah kerana nama wataknya ialah Eyra sekali gus mempunyai persamaan dengan beberapa kes melibatkan rumah tangga selebriti lain sebelum ini.
“Jujurnya saya pelik, ramai netizen yang komen dalam Instagram, ‘go Eyra go Eyra.’ Seolah-olah mereka menyokong penyondol, nama watak pula Eyra.
“Jadi saya tertanya sendiri, dunia sudah akhir zaman ke? Kemudian baca pula ada berita tentang wanita bernama Eyra, memang tergelak seorang diri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas Majlis Tayangan Program Ramadan 2023 Astro di sini semalam.
Dalam pada itu, dia menegaskan wataknya itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu yang pernah terkait dengan situasi sama sebelum ini.
Dia juga menyifatkan wanita yang merampas suami orang tidak sensitif dengan perasaan yang dilalui si isteri.
“Watak perampas ketika ini memang hangat diperkatakan. Bukan nak galakkan perkara itu pun tetapi seperti perempuan tak jaga hati perempuan.
“Memang lelaki boleh kahwin empat tetapi bukan dengan cara menipu atau memukul. Saya tak tuju kepada sesiapa tetapi kenapa sunah itu sahaja yang lelaki nak ikut?” ujarnya.
Pelakon drama Akhira Khan itu juga mengakui agak gentar pada awalnya untuk menjayakan karakter wanita penggoda suami orang.
“Memang takut nak bawa watak ini.
Dalam cerita ini saya memang perampas suami kawan baik sendiri (lakonan Isyariana) ditambah pula iman si lelaki (Aidit Noh) tak kuat dan lemah.
“Penampilan saya dalam cerita ini agak seksi, kucing nampak ikan tak akan tak mahu makan?” kata isteri kepada pelakon Kamal Adli berkenaan.
Isteri Halal yang dibintangi Uqasha turut membariskan nama-nama besar lain seperti Nazim Othman, Aidit Noh dan Isyariana.
Drama 80 episod arahan Uchee Fukada itu kini hangat ditayangkan di slot Tiara pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang. – KOSMO! ONLINE