SABAK BERNAM – Haiwan yang tular mati dilanggar kenderaan di Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Kampung Tebuk Pulai di sini, kelmarin disahkan spesis kucing batu dan bukannya harimau bintang.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, kemalangan melibatkan kucing dewasa itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang dan pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan mendapati perkara itu adalah sahih selepas turut menghubungi pemilik akaun media sosial yang memuat naik gambar haiwan tersebut.
“Anggota kita meninjau lokasi kejadian dan menemui kucing batu itu yang sudah mati. Bangkai haiwan berkenaan kemudian dibawa balik ke pejabat Perhilitan bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular gambar di media sosial memaparkan penemuan seekor haiwan yang mati di tepi jalan dan netizen mendakwa ia spesis harimau bintang atau cheetah.-KOSMO!ONLINE