PETALING JAYA – Isu penarikan diri Shuib daripada Sepahtu Reunion Live (SRL) masih tiada penghujung apabila ibunya pula tampil meluahkan rasa tidak senang dengan pihak yang mengambil kesempatan ke atas anaknya.
Ibu kepada pelawak dan ahli perniagaan itu, Salamiah Jalani membuka mulut bagi pihak anaknya setelah melihat situasi Shuib yang seolah-oleh tertindas.
“Hari ini saya tampil bersuara sebagai ibu yang cuba mempertahankan anaknya, Shahmira Muhammad atau Shuib Sepahtu dari terus menjadi bualan tanpa mengetahui keseluruhan jalan cerita mengapa dia sudah tak berminat lagi berada dalam SRL.
“Sebagai ibu, saya menyokong tindakan anak saya untuk tidak lagi menyertai SRL ketika ini.
“Perkara tersebut lebih baik buat anak saya dari terus menerus ditindas dan diperlakukan seperti orang yang tidak bermaruah,” tulisnya dalam satu hantaran TikTok.
Sementara itu, Salamiah mempersoalkan keberadaan rakan-rakan sewaktu Shuib disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Di mana yang dikatakan sahabat apabila rakan seperjuangan dikenakan tindakan, tiada seorang pun yang mempertahankan. Malah, dia dimaki dan dihina lagi oleh sahabat sendiri di hadapan orang ramai.
“Di saat dia masih dalam siasatan SPRM dan belum dijatuhkan hukuman bersalah, dia dilayan macam orang bersalah oleh sahabat sendiri diperli dan dimalukan dalam bilik mesyuarat seolah-olah macam tiada maruah.
“Untuk apa kita hanya menjadi baik di hadapan orang ramai tetapi di belakang kita sebaliknya. Disebabkan itulah jawapannya sentiasa tergantung kerana dia masih mahu menjaga aib seseorang,” ujarnya.
Terdahulu, Jep mendedahkan Shuib perlu membuat permohonan maaf dan digantung selama dua minggu kerana didakwa melakonkan babak lucah dalam program SRL.
Namun, atas dasar persahabatan dan ingin menjaga maruah, Shuib mengambil keputusan mengundur diri tanpa mahu mengeruhkan keadaan.
“Dia masih tetap meletakkan jawapan perginya dia dari SRL kerana Astro, sedangkan bukan itu kehendaknya tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan dia masih menyimpan keputusan yang sebetulnya.
“Dia memilih untuk membawa haluan sendiri bukan kerana ego atau lupa diri, tetapi lebih menjaga maruahnya dari terus dipijak orang tanpa memikirkan perasaannya.
“Yang lebih membuatnya sedih kerana itu adalah rakan seperjuangan dan orang yang dikenali sebelum dia menjadi artis,” jelasnya.
Sebagai ibu kepada pelawak itu, Salamiah tidak sanggup melihat anaknya sedih berpanjangan dan makan hati selama bertahun-tahun berhadapan kemelut dalam kumpulan ini.
“Saya sering melihat dia sedih dan murung kerana terpaksa melupakan minatnya serta menolak nilai wang demi mempertahankan maruah.
“Dia lakukan semua itu kerana ingin bekerja dengan hati yang tenang dan gembira.
“Saya pun bukanlah gila publisiti murahan. Tetapi kali ini saya rasa perlu bersuara kerana anak saya sudah cukup berdiam diri bertahun-tahun,” katanya.
Sebelum ini, Jep Sepahtu yang merupakan rakan seperjuangannya mendedahkan bahawa Shuib menarik diri dalam SRL kerana didakwa melakukan babak lucah sehingga menerima kecaman ramai.
Disebabkan itu, pelawak itu digantung dan perlu memohon maaf sebagai pengajaran tetapi dia menarik diri daripada SRL serta dianggap tidak menerima keputusan tersebut. -KOSMO! ONLINE