PERISTIWA Lahad Datu, Sabah yang berlaku sedekad lalu ternyata telah meninggalkan sejarah hitam buat negara.
Malah, pencerobohan pengganas Sulu pada waktu itu telah menyebabkan ramai perwira ‘gugur’ dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.
Menyedari insiden itu menjadi satu peristiwa penting buat negara, Jennifer Steffa Allen mengambil inisiatif membukukan peristiwa tersebut dalam bentuk novel iaitu menerusi Darah Di Tanduo dan Darah Di Tanduo 2.
Wanita yang menggunakan nama pena Dhuha Steffa itu berkata, kedua-dua novel yang dikarang olehnya adalah berdasarkan paparan sebenar insiden pada 2013.
“Kedua-dua novel ini adalah berdasarkan kisah sebenar kerana saya menemu bual penduduk kampung dan anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Pada saya, insiden ini adalah satu peristiwa hitam buat negara dan perlu ada buku yang menceritakan hal sebenar agar ia menjadi rujukan kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, menceritakan penulisan novel tersebut, guru di Sekolah Kebangsaan Sebayan, Kudat itu berkata, bagi Darah Di Tanduo, ia telah siap ditulis sejak 2015 lagi.
Katanya, ketika itu, dia tidak mempunyai keyakinan dan keberanian untuk menerbitkan novel itu kerana insiden tersebut sangat sensitif.
“Untuk novel ini, saya telah mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke Kampung Tanduo selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Sebelum itu, mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah selama sebulan disebabkan peristiwa berkenaan. Pada mulanya kampung itu ditutup untuk orang luar.
“Namun, saya mengambil kesempatan untuk masuk apabila kampung itu dibuka.
“Kebetulan ketika itu ada pemimpin masyarakat ingin melaksanakan program di situ. Saya berpeluang menemu bual penduduk kampung dan mendapat gambaran sebenar daripada kaca mata mereka tentang kejadian tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, setelah bertahun karya itu terperap, akhirnya dia mempunyai keberanian untuk menghantar manuskrip tersebut kepada penerbit.
Ujarnya, pihak penerbit memberi maklum balas yang baik dan akhirnya mereka menerbit hasil karya itu untuk tatapan pembaca.
Sementara itu, Dhuha berkata, setelah terbitnya novel Darah Di Tanduo, dia tidak terfikir bahawa akan ada kesinambungan terhadap penulisannya itu.
Bagaimanapun, setelah buku itu diterbitkan ada beberapa orang anggota dan pegawai keselamatan yang terlibat dengan insiden tersebut secara langsung telah datang kepadanya.
Ujar Dhuha, mereka menyarankannya supaya menerbitkan sebuah naskhah mengenai peristiwa tersebut daripada pengalaman anggota keselamatan.
“Jadi, saya bertekad untuk menjejak anggota keselamatan yang terlibat bagi menghasilkan novel kedua.
“Urusan menemu bual anggota keselamatan ini dipermudahkan dan akhirnya saya dapat menghasilkan novel Darah Di Tanduo 2,” ulasnya.
Tambahnya, berbanding novel pertama, Darah Di Tanduo 2 mempunyai cabaran yang tersendiri untuk diterbitkan kerana perlu melalui beberapa tapisan terlebih dahulu.
Bagi Darah Di Tanduo 2, Dhuha mengambil keputusan untuk menerbitkan sendiri novel tersebut pada Januari 2022 iaitu dua tahun setelah buku pertama diterbitkan.
Dalam pada itu, Dhuha berkata, sambutan yang diterima terhadap novelnya itu amat baik.
Katanya, kini dia dalam proses mencetak semula karyanya itu.
Malah, hasil karyanya itu akan dijual di kedai-kedai buku terkemuka tidak lama lagi.