SINGAPURA – Sebuah klip video tular di media sosial Singapura memaparkan aksi selamba seorang pejalan kaki mencuri wang dari dalam bekas sumbangan milik seorang seniman jalanan di Orchard Road, lapor portal berita Mothership semalam.
Video yang dikongsi di laman Instagram itu menunjukkan seniman jalanan, Chua Kim Seng, 78, sedang membuat persembahan tarian.
Seorang lelaki muda memakai baju berwarna biru dan fon kepala kemudian menghampiri tabung sumbangan wang milik Kim Seng.
Pada awalnya, Kim Seng menunjukkan isyarat bagus kerana menyangka lelaki berkenaan mahu memberikan tip kepadanya.
Namun, dia kemudian menyedari lelaki itu mengambil wang daripada tabung tersebut dengan selamba sebelum berlalu pergi meninggalkan Kim Seng dalam keadaan terpinga-pinga.
Seorang pejalan kaki lain yang melihat kejadian itu dilihat terkejut dan cuba memanggil lelaki yang mencuri wang tersebut.
Tidak dijelaskan sama ada lelaki tersebut berjaya diberkas atau sebaliknya.
Seorang penonton kemudian memberikan wang kepada Kim Seng yang membuatkan warga emas itu menyambung semula tariannya. – Agensi