NEW DELHI – Seorang lelaki di bandar Kasaragod, India mendakwa dia hanya makan buah kelapa selama 28 tahun dalam usaha merawat penyakit refluks gastroesophageal (GERD) yang dihidapinya, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
GERD adalah sejenis penyakit pencernaan yang berlaku apabila makanan atau cecair berasid di dalam perut keluar dan naik semula ke dalam esofagus.
Balakrishnan Palayi disahkan menghidap GERD, yang menyebabkan dia tiada tenaga sehingga sukar untuk bergerak.
Sebagai sebahagian daripada rawatan penyakit itu, dia mula makan buah kelapa dan mendapati keadaan kesihatannya bertambah baik sejak itu.
Menurut Balakrishnan, ketika usia muda, dia merupakan pemain bola sepak untuk sebuah kelab tempatan.
Pada umur 35 tahun, doktor mengesahkan dia menghidap GERD di mana setiap kali dia makan, semua makanan itu akan dimuntahkan kembali.
Balakrishnan telah mencuba pelbagai diet untuk mengatasi masalah GERD, namun dia hanya bertambah sihat selepas makan dan minum air kelapa, manakala makanan itu tidak dimuntahkan kembali.
“Saya makan buah kelapa setiap hari sehinggakan keluarga juga turut menanam pokok kelapa. Saya hidup begini selama 28 tahun,” ujarnya.
Kini, pada usia 64 tahun, Balakrishnan jauh lebih sihat daripada kebanyakan orang yang sebaya dengannya.
Dia juga bekerja di ladang milik keluarga, kerap berenang dan bersenam setiap hari. Lelaki itu juga tidak mempunyai masalah kesihatan serius. – Agensi