PUTRAJAYA- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur esok bagi menghadapi perbicaraan berhubung siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana turut mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu telah ditahan pada pukul 1 petang tadi di ibu pejabatnya di sini.
Beliau dilaporkan ditahan selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.
“Sehubungan itu, SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023.
“Beliau yang juga Presiden Bersatu bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya tadi.
Difahamkan, Muhyidddin akan bermalam di lokap SPRM pada malam ini sebelum dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk dibicarakan.
Terdahulu, Muhyiddin hadir di Ibu Pejabat SPRM, di sini, jam 11.15 pagi tadi bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Wibawa.
Pada masa sama, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris turut menjangkakan Muhyiddin akan ditahan pada hari ini selepas hadir memberi keterangan.
“Hari ini adalah satu hari tindakan kerajaan Madani dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana Tan Sri Muhyiddin diarahkan untuk ke pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.
“Dijangka beliau akan ditahan dan didakwa di mahkamah esok.
“Kami melihat tindakan ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kami akan mengadakan pemilihan parti esok,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM hari ini.- KOSMO! ONLINE