fbpx

Terkini! Talian pertanyaan tentang rancang kehamilan dilancarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEHAMILAN tidak dirancang menjadi salah satu daripada lima kebimbangan teratas dalam kalangan wanita di negara ini. – GAMBAR HIASAN

KEHAMILAN tidak dirancang merupakan salah satu masalah yang menjadi kebimbangan wanita di negara ini.

Menyedari perkara tersebut, rangkaian farmasi terbesar Malaysia, Alpro Pharmacy dengan kerjasama syarikat farmaseutikal, Bayer baru-baru ini melancarkan talian konsultasi kawalan kelahiran (birth-control teleconsult) sekali gus membantu wanita merancang kehamilan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Alpro Pharmacy, Lim En-Ni, kehamilan tidak dirancang boleh menyebabkan tekanan emosi, mental dan fizikal kepada seseorang wanita, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari.

“Telekonsultasi kawalan kelahiran kami menghubungkan anda dengan ahli profesional kesihatan hanya secara maya tanpa perlu membuat perjumpaan secara fizikal. Menerusinya, nasihat dan panduan mengenai perancangan keluarga diberikan secara percuma termasuk kaedah kontraseptif yang disediakan.

“Tidak setakat itu, talian konsultasi yang diwujudkan juga bagi membantu golongan wanita memperkasa peranan mereka dalam membuat keputusan terdidik mengenai perancangan keluarga,” katanya ketika majlis pelancaran telekonsultasi kawalan kelahiran bersempena Hari Wanita Antarabangsa di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pada acara sama, Alpro Pharmacy dan Bayer turut mengadakan sesi perbincangan santai mengenai pemerkasaan wanita dan perancangan keluarga bersama barisan panel jemputan iaitu Pakar Perunding Obstetrik, Pakar Sakit Puan dan Perubatan Reproduktif, Hospital Prince Court Kuala Lumpur, Dr. Maiza Tusimin dan pengasas bersama Womentum Life yang juga pelakon serta pengacara terkenal, Sazzy Falak.

Turut hadir ialah Pengarah Pemasaran Penjenamaan, Promosi dan Perdagangan serta Ketua E-Dagang Alpro Pharmacy, Lee Yin Chen dan Ketua Bahagian Negara Bayer Pharmaceuticals Singapura, Malaysia dan Brunei, Yamini Prakash.

Menurut En-Ni lagi, tinjauan terbaharu yang dijalankan pihak farmasi, kehamilan tidak dirancang menjadi salah satu daripada lima kebimbangan teratas dalam kalangan wanita di negara ini.

“Perkara ini diburukkan lagi dengan satu per empat daripada 1,300 responden wanita yang ditemu bual langsung tidak menggunakan sebarang kontraseptif dan hampir 50 peratus bergantung kepada perancangan keluarga semula jadi atau ‘kaedah tarik diri’,” katanya.

Dari kiri: Yamini, Maiza, Sazzy, En-Ni dan Yin Chen bergambar selepas majlis pelancaran telekonsultasi kawalan kehamilan Alpro Pharmacy
di Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Maiza menerusi perkongsiannnya berkata, perancangan kehamilan perlu bagi memperkasa wanita atau ibu kerana mereka boleh mengawal bilangan dan jarak umur anak-anak mereka.

Selain itu, katanya, faedah mengawal kelahiran turut membantu golongan wanita mengurangkan bilangan pengguguran secara keseluruhan, terutama pengguguran yang tidak selamat yang mana 97 peratus berlaku di negara membangun seperti Malaysia.

Katanya, hasil tinjauan juga mendedahkan bahawa 20 peratus daripada responden berkemungkinan menggunakan pil kecemasan (pil selepas pagi atau morning after pill) sebagai kontraseptif, yang mana tujuan asal penggunaannya hanya untuk kontraseptif sandaran dan tidak digunakan sebagai kaedah utama dalam kawalan kelahiran.

“Ia tidak disyorkan sebagai kaedah kawalan kelahiran yang berterusan kerana tidak berkesan untuk mencegah kehamilan seperti kaedah kontraseptif oral dan penggunaan pil. Kecemasan yang kerap boleh menyebabkan haid jadi tidak teratur dan tidak dapat diramalkan,” katanya.

Semasa perbicangan juga, selebriti Sazzy turut berkongsi pengalaman peribadinya mengenai perancangan keluarga yang betul sekali gus membantunya membina kerjaya sebagai personaliti televisyen selain perniagaan.

Katanya yang juga merupakan orang penting Womentum Life, pertubuhan tersebut ditubuhkan bagi memberi kesedaran tentang cabaran dihadapi wanita terutama mengenai subjek yang dianggap topik tabu dalam kalangan masyarakat.

“Seks dianggap subjek tabu dan kaedah kontraseptif kawalan kelahiran memang tidak diajar di sekolah. Penting untuk mempunyai platform seperti telekonsultasi yang diwujudkan Alpro Pharmacy dan Bayer bagi menyalurkan nasihat profesional dalam mengelakkan kehamilan tidak dirancang,” katanya.

Telekonsultasi kawalan kelahiran Alpro Pharmacy tersedia setiap hari secara percuma bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 019-612 9006 atau menerusi lawan web www.alpropharmacy.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN