ALOR GAJAH – Seorang nelayan tidak dapat menahan sebak selepas terpilih sebagai salah seorang daripada 60 penerima rumah subsidi nelayan di bawah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Kuala Sungai Baru Ilir, Masjid Tanah di sini, hari ini.
Menurut Rozali Zakaria, 47, dia tidak pernah terbayang akan memiliki rumah sendiri, malah dia dan isteri bersama empat anak mereka hanya menumpang tinggal di rumah pusaka neneknya di Pantai Kundor.
Ujarnya, dia menganggap bantuan rumah berharga RM45,000 diterimanya itu sebagai rezeki istimewa buat anak-anaknya yang berusia antara 14 sehingga lima tahun untuk membesar dalam keadaan lebih selesa.
“Anak-anak pernah tanya (rumah PSN) saya cakap, sabarlah kalau ada rezeki kita, adalah tu. Itu sahajalah yang saya cakapkan balik.
“Syukur Alhamdulillah hari ini ada rezeki anak-anak, kalau nak harapkan pendapatan saya sebagai nelayan memang tidak mampu membeli rumah yang mahal pada hari ini,” katanya sambil menahan sebak.
Tambahnya, dia berharap proses dokumentasi dan serahan kunci dapat berjalan dengan lancar agar keluarganya berpeluang meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dalam suasana baru di rumah tersebut.
“Kalau cepat kasi kunci, cepatlah kami berpindah dan dapat uruskan semuanya lebih awal termasuk pertukaran sekolah anak-anak di sini serta melakukan persiapan meraikan Hari Raya,”katanya.
Terdahulu, Rozali menerima replika kunci rumah berkenaan yang disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di Kuala Sungai Baru Ilir, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Haron Safar, 67, berkata, dia teruja selepas dimaklumkan terpilih sebagai penerima rumah PSN dan telah membawa keluarganya berulang-alik ke tapak pembinaan itu lebih daripada lima kali untuk melihat rumah yang bakal didiami mereka.
“Selama 26 tahun saya dan keluarga menumpang ihsan menyewa rumah di tanah orang, Alhamdulillah hari ini kami diberikan sebuah rumah subsidi semi-D pada harga RM45,000 sahaja.
“Mana nak dapat rumah pada harga murah begini, saya memang tidak akan jual dan akan terus tinggal di sini bersama isteri, enam daripada tujuh anak kami yang lain telah berkeluarga,” jelasnya.
Terdahulu, sebanyak 60 unit PSN jenis rumah berkembar dibina di atas tanah berkeluasan 5.6 hektar di kawasan tersebut sebagai usaha kerajaan bagi menyediakan prasarana asas yang lebih selesa, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti para nelayan. – KOSMO! ONLINE