KUALA SELANGOR – Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa berhempas pulas lebih sejam menangkap seekor ular sawa seberat 40 kilogram (kg) di sebuah reban penduduk di Sungai Buloh, Jeram di sini, semalam.
Kesukaran itu berikutan reptilia sepanjang lima meter tersebut bertindak agresif selepas membaham seekor angsa dan ayam ketika ditemukan pukul 6 petang.
Pegawai APM Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, kejadian disedari seorang lelaki berusia 50-an selepas mendengari bunyi bising di reban tepi rumahnya.
Katanya, beliau bersama tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 6.11 petang.
“Setibanya lokasi kejadian mendapati ular yang telah kekenyangan itu masih berada dalam reban tersebut.
“Kita menghadapi kesukaran untuk menangkap berikutan ular tersebut amat berat selain cuba menggigit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Beliau menambah, reptilia itu akhirnya berjaya ditangkap pihaknya dengan menggunakan peralatan khas pukul 7.57 malam.
“Ular itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya. -K! ONLINE