SUNGAI BULOH – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan jenayah ragut dan samun yang mensasarkan pejalan kaki di sekitar daerah Sungai Buloh selepas menahan enam individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Mereka yang ditahan dalam Ops Rentap itu terdiri daripada dua kumpulan berbeza yang dikenali sebagai Geng Pocek dan Geng Din Gemok.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, Geng Pocek ditumpaskan menerusi dua serbuan di Petaling Jaya dan Gombak pada 1 Oktober lalu susulan penangkapan tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun.
Katanya, hasil siasatan mendapati geng itu aktif sejak pertengahan tahun dan mensasarkan pejalan kaki dan wanita yang menaiki motosikal.
“Siasatan lanjut juga mendapati geng itu terlibat dalam 10 kes samun dan ragut di daerah ini.
“Dalam serbuan yang sama, kita merampas 13 buah telefon bimbit, 13 utas jam tangan serta pelbagai barang lain yang disyaki hasil kegiatan samun dan ragut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hari ini.
Dalam tangkapan berasingan, Shafa’aton berkata, tiga individu termasuk dua wanita yang juga ahli Geng Din Gemok ditahan dalam beberpaa serbuan di sekitar Sungai Buloh dan Kuala Lumpur pada 22 September lalu.
Jelasnya, mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun itu di tahan selepas pihaknya menerima laporan seorang lelaki diragut di sebuah stesen minyak pada Ogos lalu.
“Hasil siasatan mendapati geng itu aktif sejak Januari lalu dan mensasarkan pejalan kaki sebagai mangsa utama.
“Siasatan mendapati mereka ini terlibat 10 kes ragut dan samun di sekitar Sungai Buloh dan hasil kegiatan itu akan diberikan kepada ahli keluarga serta untuk kegunaan diri sendiri,” ujarnya.
Turut dirampas dalam serbuan itu, beberapa utas rantai emas, motosikal jenis Yamaha Y125Z, surat pajak gadai, pelbagai jenis telefon bimbit.
Tambahnya, kesemua enam suspek itu memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah kini masih dalam tahanan reman mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selain disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE