fbpx

Anwar tidak masuk campur urusan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Tiwiwangsa di sini, hari ini. - FOTO FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, adalah tidak adil untuk mendakwa siasatan itu adalah bermotifkan politik memandangkan bekas Perdana Menteri itu belum didakwa.

“Saya tidak campur tetapi saya beritahu semua agensi termasuk SPRM dan Jabatan Peguam Negara tengok kes, jadi orang yang setuju atau tidak setuju tengok kes apa pendakwaannya apa pertuduhannya.

“Belum tahu apa keputusan, setakat ini dia hanya dipanggil tetapi untuk mengatakan semua kes yang kita ambil itu ada motif politik, maknanya tidak bolehlah ada tangkap mana-mana kes-kes rasuah yang lain, yang besar semua lepas.

“Apakah itu maksudnya? Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes atau tidak, ini urusan SPRM, sampai sekarang ini saya tidak tahu apa akhirnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Anwar turut berkata, menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat sebarang dakwaan rasuah dan semua yang mahu negara ini bersih daripada rasuah perlu beri perhatian kepada fakta kes berkenaan.

“Saya mahu tegaskan di sini, semua orang yang mahu negara ini bersih dari rasuah harus lihat kes satu per satu sama ada benar ada pendakwaan politik yang disebut, ataupun berdasarkan fakta.

“Yang saya sebut selama ini tentang kes Jana Wibawa, penebatan banjir, itu berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan, bukan SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Terdahulu, Muhyiddin dipanggil buat kali kedua oleh SPRM pada hari ini dipercayai bagi memberi keterangan berhubung siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 11.15 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI