fbpx

Butik Cosry kembali dengan wajah, konsep baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ariff (dua dari kanan) bersama Simeon (enam dari kanan) pada majlis pelancaran semula jenama Butik Cosry di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Butik Cosry yang cukup popular dalam kala­ngan golongan kenamaan dan selebriti pada awal 2000 kini kembali beroperasi semula de­ngan cara dan pengurusan baharu selepas ‘menyepi’ daripada pasaran selama hampir dua tahun.

Pengasas butik itu, Ariff Quasry Md. Nor berkata, penjenamaan semula yang dilancarkan baru-baru ini bersama pengarah dan rakan kongsi syarikat yang baharu iaitu Datin Philo­mena Simeon bakal membawa lebih sinar selain wajah baharu yang cukup segar dengan pelbagai peranca­ngan masa depan untuk kembali menguasai populari­tinya se­perti zaman kegemilangan jenama tersebut.

Menurut beliau, rekaan yang dihasilkan kini ditawarkan kepada semua peringkat pendapatan bukan sekadar golongan kenamaan, tetapi menjurus kepada kumpulan anak muda pada harga mampu milik.

Ini bakal dilaksanakan melalui pelancaran Cosry Image yang mengeluarkan koleksi pakaian siap dipakai (ready to wear atau RTW) berbanding sebelum ini mementingkan konsep made to measure yang berunsurkan kepada tempahan istimewa daripada pelanggan.

“Melalui koleksi pakaian RTW ini, kami dapat meluaskan skop pemasaran kepada semua golo­ngan dan ia tersedia ditawarkan sepanjang masa serta sesuai digayakan untuk semua keadaan serta majlis keraian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran penjenamaan butik Cosry dan pertunjukan fesyen koleksi terbaharu untuk sambutan hari raya yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di sini baru-baru ini.

Butik Cosry sebelum ini ter­kenal melalui koleksi rekaan pereka terkenal Allahyarham Putra Aziz yang mewarnai dunia fesyen tempatan dan Ariff Quasry hanya bertindak sebagai rakan kongsi belakang tabir butik ber­kenaan.

“Selepas enam bulan Putra meninggal dunia, butik Cosry yang terletak di Sri Hartamas terbakar dan semua koleksi rekaan arwah yang dikumpul selama 15 tahun turut terbakar tanpa di­selamatkan walaupun sehelai.

“Tragedi itu membuatkan saya membuka mata untuk kembali aktif dalam bidang ini, lantas merancang untuk memulakan perjalanan baharu buat Cosry,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI