fbpx

Eddie Lim mahu jaguh Malaysia juara All England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EDDIE dan isterinya berpeluang bertemu Lee Chong Wei yang pernah datang ke restoran Mango Tree di London.

LONDON – Sebut sahaja nama Datuk Eddie Lim di Kota London, kebanyakan pemain bola sepak terkemuka dunia terutama yang bersaing pada Liga Perdana Inggeris (EPL) mengenali figura dari Malaysia ini.

Ini kerana, beliau merupakan pemilik restoran Mango Tree di Kota London yang menjadi lokasi wajib bintang-bintang dunia menikmati hidangan istimewa bertemakan Malaysia dan Thailand.

Lebih menarik individu kelahiran Kuantan, Pahang ini memastikan hidangan di Mango Tree berstatus halal, sekali gus turut menjadi tumpuan rakyat Malaysia dengan menjadikan restoran di Grosvenor Place, Belgravia sebagai tempat wajib dikunjungi.

EDDIE bergambar bersama ikon bola sepak dunia, David Beckham
di restoran Mango Tree miliknya di Kota London.

Ketika diberi peluang bersemuka dengan beliau, Eddie tidak lekang dari mulutnya bercakap soal rasa cinta pada negara dan berbangga menjadi rakyat Malaysia bahkan beliau seorang peminat dengan sukan.

Malah, setiap kali atlet negara yang bertandang ke London terutama perlawanan badminton, beliau memastikan jadualnya sentiasa kosong untuk memberi sokongan padu kepada pemain negara yang membawa Jalur Gemilang ke London.

Eddie menegaskan, beliau berharap pemain negara dapat bangkit daripada kekalahan lalu dan mampu melakukan kejutan menjelang All England yang membuka tirai bermula pada 14 hingga 19 Mac nanti di Birmingham Arena.

“Sudah pasti bila ada atlet negara bersaing di London terutama kejohanan badminton, saya akan pastikan isteri dan saya akan turun menyaksikan perlawanan mereka di sini.

“Saya berbangga dan teruja bila pemain negara bersaing bersungguh-sungguh membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa. Tetapi harapan saya cuma satu, pada tahun ini di All England mereka perlu lakukan sehabis baik.

“Kita tahu ramai jaguh-jaguh dunia turut memberi tentangan hebat dan tidak mustahil pemain negara mampu lakukan yang terbaik untuk menjulang trofi kemenangan di bumi London ini. Pemain negara pernah melakukannya sebelum ini dan saya percaya mereka pasti boleh,” katanya.

Eddie kini memiliki 12 restoran yang berlainan di sekitar London. Selain turut aktif dalam perniagaan, beliau juga melakukan kerja amal membantu bekas-bekas atlet yang memerlukan selain membantu pemain badminton profesional yang ingin melebarkan sayap mereka ke kejohanan luar.

Menjelang kejohanan All England, tiga barisan atlet perseorangan lelaki terbaik negara dijangka mengambil bahagian iaitu Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, dan Daren Liew. Berdasarkan undian yang dikeluarkan BWF, Zii Jia akan bertemu Sitthikom Thammasin dari Thailand di pusingan pertama.

Jika menang, Zii Jia yang pernah bergelar juara 2021 berpeluang menghadapi Kenta Nishimoto di pusingan kedua serta Kodai Naraoka jika lolos suku akhir.

Pastinya, ia bukan laluan mudah buat Zii Jia terutama prestasi pemain No. 1 Malaysia itu sejak kebelakangan ini tidak konsisten. Sementara itu, Tze Yong akan bertemu dengan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia di pusingan kedua dan selepas itu akan berjumpa pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Tentangan hebat juga menanti Daren apabila harus berdepan jaguh Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo seawal pusingan pertama.

All England adalah kejohanan badminton tertua di dunia dan kali terakhir Malaysia menjuarai acara perseorangan lelaki di pentas berprestij itu pada 2021 menerusi Lee Zii Jia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI