fbpx

Empat lelaki mengaku tidak bersalah halang tugas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
R. Durai Raaj (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Slim River selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

SLIM RIVER – Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas seorang anggota polis dua minggu lalu.

Keempat-empat tertuduh, P. Panneerselvan, 32, S. Vijandran, 41, A. Sivakumar, 28, dan R. Durai Raaj, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Koperal Muhd. Shahrul Azuwan Ab. Manaf daripada menjalankan tugasnya sebagai anggota polis apabila tidak memberikan kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar serta gagal mengemukakan kad pengenalan.

Kesemua mereka yang tidak mempunyai kerja tetap itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River pada pukul 3.30 pagi 16 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Durai Raaj turut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip vest anggota polis sama di lokasi dan waktu sama.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Nurul Hidayah kemudian menetapkan 9 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kosmo! Rabu lalu melaporkan, empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River atas pertuduhan menghalang penjawat awam namun kes ditangguhkan selepas kesemua mereka tidak faham pertuduhan yang dibacakan di dalam bahasa Melayu.

Kesemua mereka yang berada dalam keadaan mabuk sebelum itu ditahan selepas melakukan provokasi dan menghalang tugas penjawat awam di Plaza Tol Slim River pada pukul 3.30 pagi 16 Oktober lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI