PUTRAJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran meninggalkan Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini sebentar tadi.
Kenderaan yang membawa mereka dilihat meninggalkan bangunan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Difahamkan, kedua-dua mereka baru selesai bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat Perdana Menteri bersama pemimpin parti itu diadakan kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet yang dijadualkan bermula pukul 11.30 pagi.
Abdul Hadi dan Vigneswaran tiba di Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.
Usaha wartawan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertemuan itu tidak berjaya kerana mereka terus meninggalkan bangunan tanpa bertemu dengan pihak media.
Tidak diketahui agenda mesyuarat berkenaan namun, ia mungkin ada kaitan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytihar darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia buat masa ini.-K! ONLINE