KUALA SELANGOR – Gara-gara mahu mengambil alat mainan, seorang kanak-kanak lelaki menanggung kesakitan selama 25 minit apabila kepalanya tersepit pada jeriji besi rumahnya di Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.
Kejadian pukul 1.20 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia tiga tahun yang berada di ruang tamu dan mainan tersebut tercampak keluar.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.22 tengah hari.
“Pemeriksaan mendapati kepala mangsa masih tersepit pada jeriji tersebut. Anggota bomba merenggangkan besi tersebut bagi menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, operasi itu tamat pukul 2.30 petang. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ibunya.-KOSMO!ONLINE