fbpx

Gemuk mengata, kurus pun masih mengata – Alyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANYA ingin menjadi diri sendiri, Alyah mahu masyarakat di luar sana jangan memandang negatif tentang pembedahan bariatrik yang selama ini sering dianggap sebagai prosedur untuk kecantikan bukan kesihatan.

PETALING JAYA – Penyanyi Datin Alyah mengakui dirinya berasa bahagia dengan keputusan melakukan pembedahan bariatrik atas faktor kesihatan meskipun ada suara-suara sumbang mengecam dirinya sekarang kelihatan sangat kurus.

Pertahan Alyah, 42, tiada apa yang perlu dimalukan jika seseorang mengambil keputusan melakukan prosedur tersebut kerana hanya diri sendiri yang tahu betapa seksanya menanggung kesakitan.

“Bila orang nampak kita dah kurus, mereka hanya fikir, yelah nak menunjuk-nunjuk. Siapa yang nak fikir, kita pernah sakit sebelum ini? Tiada siapa peduli ya.

“Bila dah kurus pula, ada pula suara-suara berbunyi, kenapa kurus sangat, cengkung muka tu, saya nak awak yang dulu, sekarang kurus sangat,” tulis Alyah dalam sebuah perkongsian video menerusi Instagram.

Pelantun lagu Thank You Allah itu berkongsi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan kerana masalah gastrik serius menjadi punca utama mengapa dia berani melakukan prosedur tersebut pada tahun lalu.

Sekitar 2013, Alyah atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan pernah dimasukkan ke hospital gara-gara mengalami gastrik yang teruk.

Kemudian pada 2018 pula, keadaan tersebut kembali menyerang apabila dia menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya dalam keadaan sakit sehingga termuntah-muntah.

Masalah yang dihadapi Alyah menyebabkan dia sukar mengawal berat badan kerana tidak boleh mengamalkan diet sehinggakan perubahan badannya yang berisi ketika itu mengundang cemuhan ramai selain ada beranggapan dia berbadan dua.

“Saya buat keputusan jumpa doktor dan bila diterangkan satu persatu, keyakinan itu jadi kuat. Sebab diri saya sampai satu ketika, solat pun pakai kerusi.

“Saya tetap nak bersenam dan usaha untuk sihat, tapi kerana badan besar kaki halus, bahagian lutut dan pergelangan kaki jadi sangat sakit bila bersukan,” ceritanya.

Sukar menepis tanggapan negatif orang lain, isteri kepada maestro muzik terkenal Datuk Ramli MS itu mengamalkan pendirian untuk hanya melakukan perkara yang boleh membahagiakan dirinya.

“Masa berbadan besar, orang mengata sedangkan mereka tak tahu apa yang kita hadapi. Bila dah kecil pun orang masih lagi tak puas hati.

“Saya selalu mohon kesihatan yang baik dari segala segi pada Ilahi, selebihnya bonus. Jangan malu kalau orang mengata kita kurus sebab potong perut. Sebab kita hanya buat untuk keperluan badan. Masing-masing punya pilihan untuk kehidupan sendiri,” ujarnya.

Sekitar Mac tahun lalu, Alyah menjalani prosedur bariatrik bagi merawat masalah gastrik serius dihadapinya sehingga menyebabkan dia mengalami penambahan berat badan mendadak sebanyak 18 kilogram (kg). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI