fbpx

JKM senarai hitam syarikat katering masak ikan busuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALSOM (dua kiri) meninjau menu makan tengah hari yang dibekalkan kepada seorang mangsa banjir di PPS SK Sungai Rambai, Melaka, hari ini. -Foto oleh AMRAN MULUP/ KOSMO!

JASIN – Syarikat katering yang membekalkan makanan tidak berkualiti kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai akan disenaraihitamkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan mangsa banjir berkenaan isu ikan kembung busuk yang diberikan kepada mereka.

“Saya bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agak terkejut dan kesal apa yang berlaku semalam, dikhabarkan makanan yang dihidangkan kepada mereka tidak memuaskan.

“Saya memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dalam hal yang sebegini dan kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pembekal ini, jika didapati berlaku kecuaian.

“Namun apa yang kita dapati hari ini, sebelum sempat saya hendak berjumpa dengan pembekal, makanan hari ini cantik pula,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di PPS SK Sungai Rambai di sini, hari ini.

Tambah Kalsom, pihaknya akan membuat pemantauan terperinci di semua PPS yang dibuka selepas ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa di PPS SK Sungai Rambai mendakwa makanan tengah hari dibekalkan kepada mereka sejak dua hari lalu dimasak menggunakan ikan kembung yang telah busuk. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI