PETALING JAYA – Aktor popular Beto Kusyairy menyifatkan aktres gandingannya dalam filem Imaginur iaitu Diana Danielle sebagai pelakon yang bijak dalam mempersembahkan karakternya.
Menurutnya, Diana, 32, merupakan seorang aktres yang tahu apa diingini serta terperinci melakukan setiap perkara dalam lakonannya.
“Dia pelakon hebat, ini kali kedua kami bekerjasama.
“Saya cukup mengagumi setiap perincian yang diberikan dalam wataknya, memang hebat.
“Dia faham apa hendak disampaikan, bagaimana hendak ‘pergi’ dan menyerap semua rasa yang saya beri dengan cemerlang,” katanya kepada Kosmo! Online pada malam gala filem Imaginur, di sini baru-baru ini.
Pemilik nama penuh NurKusyairy Zakuan Osman itu juga mengakui bertuah kerana diberikan kesempatan untuk bekerja sekali lagi bersama isteri kepada pelakon Farid Kamil berkenaan.
“Saya memang beruntung dapat heroin sepertinya dan bukan sahaja dia, termasuk juga barisan pelakon lain.
“Alhamdulillah dengan keserasian yang wujud antara kami dalam filem ini,” ujar bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
Ketika ini, filem Imaginur arahan Nik Amir Mustapha berjaya meraih kutipan sebanyak RM3 juta sejak ditayangkan pada 23 Februari lalu.
Selain Beto dan Diana, Imaginur turut dibintangi Nadiya Nisaa, Datuk Rahim Razali, Datuk Afdlin Shauki dan Fatimah Abu Bakar. – KOSMO! ONLINE