PORT DICKSON – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited dalam memastikan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian untuk meningkatkan hasil pertanian, selain menarik minat golongan muda menceburi bidang itu.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, bidang kejuruteraan pertanian mampu mengubah persepsi golongan muda yang mungkin tidak berminat untuk menggunakan pertanian cara lama seperti menggunakan cangkul atau sebagainya.
Menurutnya, banyak teknologi dalam bidang pertanian sudah tersedia di negara ini, namun, kementerian berhadapan cabaran untuk memastikan adaptasi teknologi tersebut dalam kalangan petani atau pesawah.
“Salah satu hala tuju kementerian tahun ini adalah untuk meremajakan sektor pertanian. Sekarang kita alami satu cabaran di mana pesawah, petani semakin menua. Oleh itu, kita berpendapat, cara bagi menarik perhatian golongan muda menceburi bidang ini adalah menggalakkan adaptasi teknologi moden dalam pertanian.
“Kemungkinan golongan muda sekarang tak sudi pakai cangkul atau topi bekerja di bawah matahari yang terik. Mereka boleh pakai dron buatan Malaysia berharga RM30,000 untuk tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2023 di Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini, hari ini.
Dalam konvensyen yang masuk tahun ke enam penganjurannya itu, sebanyak 203 individu menyertainya dan 91 poster bakal dibentangkan berkaitan kejuruteraan pertanian.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, penganjuran program seumpama itu adalah selaras dengan teras utama Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang menekankan kepentingan penerapan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) melalui pemodenan dan pertanian pintar bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian negara. – KOSMO! ONLINE