KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti untuk memperbagaikan skim pembiayaan perumahan bagi membantu golongan sasar, khususnya B40, untuk memiliki rumah.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah Skim Sewa-untuk-Milik atau Rent-to-Own (RTO) dengan 6,066 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di 14 PPR seluruh negara ditawarkan sejak diperkenalkan pada 2017 untuk membantu pemilik rumah B40 memiliki kediaman.
“Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 4,690 keluarga telah ditawarkan skim RTO PPR di seluruh negara dan masih berbaki 1,376 unit rumah yang belum ditawarkan.
“KPKT juga ketika ini sedang meneliti untuk mempelbagaikan skim pembiayaan perumahan bagi membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, bagi membantu pembeli rumah pertama, Akmal berkata KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan telah melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).
Jelasnya lagi, salah satu program di bawah inisiatif berkenaan adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) iaitu pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan yang ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan ekonomi gig. – KOSMO! ONLINE.