fbpx

Watak antagonis, Ummi Nazeera risau burukkan wanita berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNAH risau memburukkan wanita bertudung kerana watak jahat, namun Ummi meminta penonton menilai dari sudut positif dan tidak mudah menjatuhkan hukum berdasarkan penampilan semata-mata.

PUTRAJAYA – Memegang watak antagonis dengan imej bertudung, aktres Ummi Nazeera mengakui pernah berasa bimbang andai watak ‘jahat’ lakonannya memberi impak negatif terhadap golongan wanita berhijab.

Kata Ummi, 33, menjayakan watak antagonis bukan satu masalah besar buatnya tetapi lebih kepada berasa bimbang dengan pandangan sinis masyarakat terhadap imej wanita bertudung.

Namun baginya, kejahatan sesuatu watak itu secara dasarnya lahir daripada jiwa berbanding penampilan seseorang pelakon.

“Untuk saya tidaklah susah atau ada masalah besar untuk menjayakan watak antagonis. Sebab kejahatan bukanlah bersandarkan terhadap imej atau rupa semata-mata tetapi rasa daripada hati.

“Bagaimanapun, yang menjadi isu dan kerisauan ialah mungkin akan wujud pandangan skeptikal dalam kalangan penonton seperti ‘bertudung tetapi perangai jahat’,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar Anugerah Drama Sangat, di sini baru-baru ini.

Ujar pemilik nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin itu, perkara tersebut menjadi kerisauannya tetapi dia menasihatkan orang ramai agar tidak mudah melemparkan pandangan negatif berdasarkan penampilan semata-mata.

“Itulah yang menjadi kerisauan saya iaitu memburukkan imej perempuan bertudung.

“Harapnya penonton ambillah dari sudut positif dan kita tidak boleh menjatuhkan hukum sesuka hati terhadap seseorang hanya kerana penampilan.

“Jadi, amalkan konsep jangan hakimi seseorang berdasarkan luaran sahaja,” kata pelakon drama Risik Pada Hati itu.

Sebelum ini, Ummi pernah memegang watak antagonis termasuk wanita psiko dalam beberapa buah drama dengan imej bertudung seperti Rindu Kasih dan Suri Katriana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI