PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam nada cukup optimis menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak tumbang.
Malahan, beliau turut percaya, kerajaan yang disertai empat blok dan tiga parti kecil itu boleh kekal bertahan sehingga tempoh penggalnya tamat pada 3 Disember 2027 kelak.
“Saya yakin kerjasama ini (Kerajaan Perpaduan) akan bertahan sehingga habis penggal dan tidak terjejas dengan apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin Pas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucaptama pada Sesi Interaksi Bersama-sama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya, di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita di Parlimen mendakwa bahawa Kerajaan Perpaduan akan ‘tumbang’ sendiri dalam masa terdekat.
Bahkan beliau menyifatkan usaha pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Anwar adalah dibolehkan kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Mengulas lebih lanjut, Anwar turut mengulangi pendirian mengenai kekukuhan Kerajaan Perpaduan dan menganggap pandangan pihak luar sebagai bermotifkan agenda politik.
“Ia (kenyataan pemimpin blok lawan tersebut) tidak lebih hanya berbentuk retorik politik,” tegasnya yang melahirkan kepercayaan bahawa ramalan kejatuhan beliau tidak berasas.- KOSMO! ONLINE