PASIR MAS – Empat lelaki ditahan selepas dipercayai menanam sepucuk pistol tiruan dan enam butir peluru hidup dalam serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh, dekat sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek yang berusia 33 tahun hingga 43 tahun dicekup hasil serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Cawangan Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek menanam pistol tiruan dan peluru hidup itu di belakang sebuah rumah.
“Anggota polis menggali kawasan tersebut sebelum menemui satu plastik yang mengandungi sepucuk pistol dan enam butir peluru hidup berwarna tembaga. Ia dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di IPD Pasir Mas di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, ujian saringan air kencing mendapati, kesemua suspek yang ditahan positif dadah selain mereka mempunyai rekod jenayah berkait kes narkotik.
Katanya, keempat-empat suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE