KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat Sesi petang hari ini bertukar kecoh apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).
Gesaan tersebut dilakukan setelah Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai rancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Ketika membahaskan Belanjawan 2023, RSN Rayer yang terkenal dengan panggilan YB Jelutong itu memaklumkan ada membaca laporan akhbar hari ini, mengenai kenyataan Abdul Hadi yang didakwa bertentangan dengan undang-undang.
“Kelmarin dalam Dewan Rakyat, Yang Berhormat Marang menyatakan bahawa pihak sebelah sana (pembangkang) sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan ini.
“Saya menuntut Menteri Dalam Negeri menyiasat kerana perkara ini menyalahi undang-undang Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 124(b),” jelasnya di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Seksyen tersebut katanya memperuntukkan barang siapa dengan apa-apa cara melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun.
Perbahasan tersebut bertukar kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mencabar RSN Rayer untuk membuat laporan polis.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut tidak setuju dengan kenyataan RSN Rayer yang disifatkan bersangka jahat dan mengelirukan dewan. – KOSMO! ONLINE.