fbpx

Bot bawa laju, tiada lampu, punca berlanggar hingga tiga lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa yang lemas, A. Vijaya Letchumi (kiri), G.Divapiria, 26, (kanan) dan A. Elesbeth Rani, 41. GAMBAR MEDIA SOSIAL

LUMUT – Siasatan awal polis mengesyaki dua bot yang berlanggar sehingga menyebabkan 10 penumpang terhumban ke dalam laut dengan tiga daripadanya mati lemas, malam tadi, dikemudi laju dengan salah satu daripadanya tidak berlampu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua bot yang membawa penumpang itu juga sebenarnya adalah bot nelayan, dan bukan bot khas untuk membawa penumpang.

“Disyaki kedua-dua bot bergerak laju dengan bot pertama yang membawa 17 penumpang dan seorang tekong mempunyai lampu manakala bot kedua yang dinaiki seorang tekong dan dua penumpang, tidak berlampu.

“Keadaan laut adalah biasa, tidak bergelora dan cuaca pun baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam di perairan Lumut berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut itu, tiga wanita berusia antara 26 hingga 43 tahun mati lemas selepas terhumban ke dalam laut dalam pelanggaran itu.

Menurut Nor Omar, dua mangsa yang maut mempunyai hubungan saudara berasal dari Segari, dekat sini manakala seorang lagi adalah kenalan mereka yang datang dari Johor.

Jelasnya, daripada 17 penumpang tersebut, sembilan daripada mereka adalah pelancong iaitu lima dari Johor dan empat dari Pulau Pinang manakala lapan orang lagi penduduk tempatan dari Segari, Sitiawan dan Lumut menaiki bot ke Pulau Pangkor.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang maut dikenali sebagai A. Vijaya Letchumi, 43, dari Johor Bahru yang menaiki bot itu bersama anak lelaki tunggalnya berusia 18 tahun.

Abang mangsa, A. Karuna Karalu, 62, memberitahu mereka dalam perjalanan untuk menghadiri acara keagamaan di Kuil Sri Pathirakaliamman Kovil di Pulau Pangkor iaitu perayaan Masimagam yang berlangsung selama dua hari dan berakhir tengah malam tadi.

Dua lagi mangsa dikenali sebagai A. Elesbeth Rani, 41, dan G. Divapiria, 26, dan polis masih menyiasat lanjut kejadian itu dan sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI