PETALING JAYA – Southern Lion Sdn. Bhd., pengeluar detergen,melancarkan kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP dengan pemberian sumbangan barangan keperluan untuk kembali ke sekolah kepada 200 pelajar.
Pengurus Besar Kanan Southern Lion, Carmen Foo berkata, pelajar tahun satu daripada keluarga yang menetap di komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang menjadi pilihan syarikat untuk kempen kali ini yang turut mendapat kerjasama daripada Mydin dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
PPR yang terlibat adalah komuniti di Seri Pahang dan PPR Seri Pantai di Lembah Pantai, serta PPR Desa Rejang di Setiawangsa, Kuala Lumpur; PPR Taman Putra Damai di Lembah Subang Selangor; PPR Taman Cendana di Pasir Gudang, Johor; serta PPR Desa Wawasan dan PPR Ampang Jajar Pulau Pinang.
Menurutnya, sumbangan tersebut diperoleh daripada sebahagian jualan produk pencuci TOP terpilih yang dibeli dari kedai MYDIN seluruh negara dari 15hb Disember 2022 hingga 15hb Januari 2023 disalurkan bagi membantu keluarga miskin bandar dengan menyediakan keperluan persekolahan kepada anak-anak mereka.
Peranan JKM pula membantu mengenal pasti kumpulan sasar dengan menyenarai pendek senarai penerima mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, melawat keluarga terpilih serta membantu untuk membuat ukuran saiz bagi pakaian seragam dan kasut.
“Keutamaan diberikan kepada keluarga dengan anak-anak yang memasuki Tahun Satu pada tahun persekolahan 2023/2024, namun begitu beberapa murid Tahun Dua dan Tahun Tiga daripada keluarga yang memerlukan turut disenaraikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Keperluan kembali ke sekolah adalah termasuk pakaian sekolah, kasut sekolah, stoking, set alat tulis, bekas pensel, beg sekolah, tag beg peribadi dan pensel warna untuk setiap kanak-kanak.
Selain itu, setiap keluarga juga akan menerima pek 2.1kg detergen serbuk TOP Super Color dan dispenser detergen yang boleh diguna semula.
Kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP yang bermula pada 2015 telah memanfaatkan 3,406 kanak-kanak daripada 104 komuniti di seluruh negara dengan sumbangan keperluan kembali ke sekolah dan produk detergen TOP kepada keluarga miskin dan berkeperluan. -KOSMO! ONLINE