fbpx

MITI bentang lima industri utama jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU ZAFRUL melihat kompenan kapal terbang ketika melakukan lawatan ke GKN Engine Systems Component Repair Sdn Bhd di Gelang Patah, Iskandar Puteri hari ini. FOTO RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membentangkan perancangan ekonomi negara yang memberi tumpuan kepada lima industri utama, esok.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lima industri yang akan diberikan tumpuan itu ialah industri aeroangkasa, petrokimia, digital, farmaseutikal serta elektrik dan elektronik.

“Industri utama yang disebutkan ini akan diberi tumpuan supaya kita dapat menjana pelaburan yang lebih seterusnya memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Implikasi daripada tumpuan terhadap industri utama ini ialah dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan, memperluas ekosistem industri serta menggandakan nilai limpahan kepada ekonomi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke GKN Engine Systems Component Repair Sdn. Bhd. di Gelang Patah, di sini hari ini.

Lawatan pihak kementerian bersama agensi di bawahnya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mengukuhkan hubungan bersama pemain industri selain mengetahui cabaran dan isu yang dihadapi.

Ditanya mengenai jangkaan pakar ekonomi bahawa ekonomi global akan mengalami kelembapan pertumbuhan menjelang separuh kedua tahun ini, Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan perlu bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan perancangan ekonomi yang dinamik selain mempunyai pelan jangka panjang yang utuh agar tidak mudah terkesan dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

Tambahnya, kerajaan juga perlu cepat untuk mengadaptasi dengan perkembangan ekonomi semasa agar dapat memperoleh limpahan keuntungan daripadanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI