VENLO, Belanda – Gergasi Belanda, Ajax melepaskan geram terhadap kekalahan 0-1 kepada Liverpool pada Khamis lalu dengan berkenduri gol membelasah VVV Venlo 13-0 dalam saingan Eredivisie malam kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan Ajax berjaya mencipta rekod baharu dalam saingan Eredivisie yang sebelum ini dipegang juga oleh juara Belanda tersebut dengan kemenangan 12-1 ke atas Vitesse Arnhem pada 1972.
“Tahniah buat pemain kerana keputusan 13-0 ini adalah satu kemenangan menarik. Mereka membuktikan kebangkitan penuh bergaya selepas apa yang telah terjadi minggu lepas,” kata ketua jurulatih Ajax, Erik ten Hag.
Penyerang Burkina Faso, Lassina Traore berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meledak lima gol ke atas Venlo yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Christian Kum dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Bintang muda Ajax, Jurgen Ekkelenkamp juga enggan melepaskan peluang apabila berjaya mencipta dua jaringan bersama-sama Klaas-Jan Huntelaar dalam perlawanan itu.
Baki empat lagi gol Ajax diperoleh masing-masing menerusi satu jaringan daripada Dusan Tadic, Anthony, Daley Blind dan Lisandro Martinez.
“Salah kami sendiri kerana memudahkan tugas Ajax. Ini adalah satu sejarah yang cukup memalukan dan saya berharap para pemain tidak mengambil masa lama untuk bangkit,” jelas pengendali Venlo, Hans de Koning. – AGENSI