KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung dengan tali, di siling rumahnya di Taman Alam Jaya, Cheras, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 1.25 petang tadi.
Katanya seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussin Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun dalam keadaan tergantung pada siling.
“Mayat mangsa ditemui di dalam bilik di rumah berkenaan yang disewa oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Morni, anggota bertugas terpaksa membuka pintu rumah berkenaan yang berkunci.
“Anggota bomba kemudian menurunkan mayat mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- KOSMO ONLINE.